Jualan sektor pembuatan RM122.9 bilion - Utusan Malaysia

Jualan sektor pembuatan RM122.9 bilion

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan nilai jualan sektor pembuatan berjumlah RM122.9 bilion pada Januari lalu tumbuh 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan tahun ke tahun itu dipacu oleh produk makanan, minuman dan tembakau yang tumbuh sebanyak 7.7 peratus, diikuti produk elektrik dan elektronik (naik 6.4 peratus) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (menokok 5.5 peratus).

Bagaimanapun katanya, nilai jualan itu turun sebanyak 1.4 peratus berasaskan bulan ke bulan.

Beliau berkata, dari segi jumlah pekerja pula, seramai 2.225 juta pekejar dicatatkan untuk sektor berkenaan, susut 2.4 peratus daripada 2.280 juta pada Januari tahun lalu.

“Jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7.558 bilion, merosot 1.4 peratus atau RM105.6 juta berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

“Pada masa yag sama, nilai jualan per pekerja meningkat 6.7 peratus kepada RM55,213 berbanding bulan sama 2020. Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,396,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada bulan dilaporkan berjumlah RM111.7 bilion, merosot 2.7 peratus tahun ke tahun.

Katanya, kemerosotan itu disebabkan oleh kenderaan bermotor yang menguncup 13.8 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM10.6 bilion.

Perdagangan runcit katanya, turut susut sebanyak RM1.2 bilion atau 2.5 peratus kepada RM45.6 bilion.

“Perdagangan borong juga menunjukkan tren yang sama dengan penurunan sebanyak RM0.2 bilion atau 0.4 peratus kepada RM55.4 bilion. Sementara itu, nilai jualan bulan ke bulan turun 3.3 peratus pada Januari lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) di enam negeri bermula 13 Januari lalu,” jelasnya.

Mohd. Uzir memberitahu, penurunan dua digit -13.8 peratus subsektor kenderaan bermotor adalah disebabkan jualan kenderaan bermotor yang menjunam sebanyak 17.6 peratus kepada RM5.3 bilion, diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang jatuh 9.3 peratus kepada RM2.9 bilion.

Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga susut sebanyak 9.5 peratus kepada RM1.5 bilion, manakala jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal turut turun 11.1 peratus kepada RM0.9 bilion, jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya