Jual saham, Wall Street menjunam - Utusan Malaysia

Jual saham, Wall Street menjunam

Wall Street melonjak 2.0 peratus selepas merudum berikutan kebimbangan kemelesetan ekonomi global. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelabur syarikat teknologi berharga tinggi terkesan

CALIFORNIA: Indeks Nasdaq jatuh menjunam kelmarin selepas pelabur menjual saham teknologi berharga tinggi dan beralih kepada sektor yang dilihat lebih berkemungkinan me­nerima manfaat daripada pemulihan ekonomi.

Microsoft Corp., Apple Inc. dan Amazon.com Inc. turun le­bih dua peratus, lebih daripada mana-mana saham dalam S&P 500.

Pakar strategi Baird, Ross Mayfield berkata, apa yang terjadi kelmarin adalah gambaran terbaik apa yang dilihat selama dua bulan sebelum ini.

“Pengedaran vaksin berjalan lancar dan ekonomi semakin baik.

“Ia meletakkan jangkaan ha­sil dan kadar yang lebih tinggi, yang mana merencatkan pertumbuhan saham,” katanya.

Purata Industri Dow Jones jatuh 2.7 peratus untuk ditutup pada 31,270.09 mata sementara S&P 500 turun 1.31. Peratus kepada 3,819.72 mata.

Komposit Nasdaq menyusut 2.7 peratus kepada 12,997.75 mata, catatan terendah komposit tersebut sejak awal Januari dan mengurangkan perolehannya pada 2021 kepada kurang satu peratus.

Pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal dalam kadar sederhana sepanjang minggu-minggu awal tahun ini dengan perniagaan optimis terhadap bulan-bulan seterusnya dan permintaan untuk perumahan melonjak.

Namun, pasaran pekerjaan bertumbuh dengan perlahan, menurut laporan Rizab Persekutuan.

Ketika pengedaran vaksin dijangka membantu pemulihan ekonomi, data menunjukkan majikan menggaji lebih sedikit pekerja berbanding jangkaan pada Februari, menunjukkan pasaran buruh bergelut untuk pulih dengan pantas.

Laporan lain menunjukkan aktiviti industri perkhidmatan AS di luar jangkaan, perlahan pada Februari sementara ukuran harga yang dibayar syarikat-syarikat untuk input meningkat ke tahap tertinggi dalam hampir 12 setengah tahun.

Hasil 10 tahun Perbendaharaan AS meningkat kepada 1.47 peratus, memberi tekanan kepada pasaran dengan penilaian tinggi.

Kenaikan kadar faedah secara songsang memberi kesan kepada syarikat teknologi dengan pertumbuhan tinggi kerana pelabur menilai mereka berdasarkan jangkaan pendapatan pada masa hadapan dan kadar faedah yang tinggi me­ngurangkan nilai pendapatan masa hadapan lebih daripada nilai pendapatan yang dibuat dalam jangka masa pendek. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya