PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bank bukan pemastautin dibenarkan untuk memperdagangkan swap kadar faedah (IRS) dalam denominasi ringgit bermula 15 Mac ini.
Menurut BNM, dengan kebenaran itu, bank terlibat tidak tertakluk kepada sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negeri atau Pejabat Luar Negeri Dilantik (AOO) mereka.
“Fleksibiliti ini akan mendorong penyertaan bank-bank bukan pemastautin dalam pasaran IRS dalam negeri, seterusnya menggalakkan pasaran domestik yang lebih cair untuk mengurangkan kos lindung nilai kepada syarikat dan pengurus aset serta kos pendanaan bank-bank tempatan dalam negeri.
“BNM dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) akan terus berbincang dan berinteraksi dengan peserta pasaran bagi menggalakkan pasaran kewangan dalam negeri yang progresif dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BNM, November lalu satu program perintis dilancarkan bagi memberikan fleksibiliti kepada bank peserta dalam negeri dan AOO mereka untuk memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit dengan bank bukan pemastautin tanpa mengambil kira sebarang komitmen asas.
Kebenaran bermula 15 Mac ini diberikan melihat kepada maklum balas positif yang diterima dalam tempoh perintis tersebut.
Kata BNM lagi, pihaknya secara rundingan dengan FMC telah mula melaksanakan pelbagai inisiatif pasaran untuk menggalakkan pasaran kewangan domestik yang mendalam dan aktif pada tahun-tahun kebelakangan ini. – UTUSAN