IMBRT mula ujian rintis April ini - Utusan Malaysia

IMBRT mula ujian rintis April ini

Lakaran artis Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia yang menggunakan teknologi pandu sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem pe­ngangkutan bas futuristik, Transit Rapid Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) yang menggunakan teknologi pandu sendiri akan memulakan ujian rintis April ini.

Sistem tersebut akan dijalankan di Iskandar Malaysia de­ngan melibatkan sembilan syarikat pengeluar bas selain agensi pe­nguat kuasa dan pengawal selia lain.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, ujian rintis itu yang akan berjalan selama tiga bulan merupakan perkembangan mustahak buat IMBRT memandangkan projek itu berada pada tahap terakhir sebelum dijalankan sepenuhnya.

Kata beliau, Iskandar Malaysia perlu dihubungkan dengan baik untuk berkembang sebagai metropolis yang kukuh dan mampan bertaraf antarabangsa.

“Semua ini boleh berlaku dengan sokongan sistem pe­ngangkutan awam yang boleh dipercayai dengan liputan yang meluas seperti IMBRT.

“Infrastruktur pengangkutan awam bersepadu dan berkesan adalah pemangkin untuk menarik pelaburan asing dan domestik bagi mendorong pertumbuhan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media yang diadakan secara maya semalam.

Menurut Ismail, sembilan syarikat pengeluar bas yang terlibat akan ditentukan selepas ujian rintis dan ia melibatkan kedua-dua syarikat tempatan dan antarabangsa.

Kata beliau, projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua tahun.

Tambahnya lagi, IMBRT akan menjadi tulang belakang pe­ngangkutan awam di Iskandar Malaysia dan akan meningkatkan liputan pengangkutan awam dalam kawasan tersebut daripada 39 peratus kepada 90 peratus selain meningkatkan pecahan mod daripada 15 peratus kepada 40 peratus menjelang 2025.

“Kami yakin sistem IMBRT akan meningkatkan mobiliti untuk rakyat dengan menyediakan keterhubungan hujung ke hujung serta akses kepada Iskandar Malaysia,” katanya.

IMBRT akan menyediakan 55 perkhidmatan penghantar dan 44 perkhidmatan terus, menjadikan jumlah liputan rangkaian kepada 2,051 kilometer (km) atau kira-kira 90 peratus daripada kawasan berpopulasi di Iskandar Malaysia.

Jalan utamanya sepanjang 54.92 km melalui Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri dan mempunyai 33 stesen, dengan satu hab di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di laluan Skudai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya