PETALING JAYA: Malaysia naik dua anak tangga untuk disenaraikan pada kedudukan ke-22 daripada 178 negara di seluruh dunia dalam Indeks Kebebasan Ekonomi (IEF) 2021 berbanding tahun lalu.
Dalam kalangan 40 negara di rantau Asia pula, Malaysia berada di kedudukan kelima manakala skor keseluruhannya berada di atas purata rantau dan dunia.
Bagaimanapun, Malaysia mencatatkan penurunan skor keseluruhan sebanyak 0.3 mata kepada 74.4 mata tahun ini berbanding 74.7 mata tahun sebelumnya. Singapura berada di tangga teratas dengan 89.7 mata diikuti New Zealand (83.9 mata) dan Australia (82.4 mata).
Menurut laporan dikeluarkan The Heritage Foundation, ekonomi Malaysia mengekalkan kedudukannya dalam kategori kebanyakannya bebas (mostly free) tahun ini namun menunjukkan penurunan 0.3 peratus mungkin kerana kurangnya keberkesanan sektor kehakiman.
“Kerajaan mula melaksanakan rancangan anti rasuah pada tahun 2019 dan peningkatan kebebasan ekonomi yang tulen memerlukan kempen yang mampan untuk menamatkan amalan seperti rasuah, pemerasan, nepotisme, kronisme, perlindungan dan penggelapan.
“Sektor kewangan, walaupun besar, ketinggalan dalam pembangunan di belakang pusat kewangan utama Asia,” menurut laporan itu.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kedudukan tersebut menunjukkan Malaysia masih kekal di tangga kedua terbaik Asia Tenggara dan kelima terbaik di Asia.
“Malah, kita mendahului negara-negara membangun yang lebih kaya seperti Jepun dan Korea Selatan, seterusnya mendahului negara jiran yang di gembar-gemburkan menerima pelaburan luar negara secara langsung (FDI) yang lebih tinggi daripada kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.
“Untuk kekal di tangga ke-22 dunia adalah satu pencapaian yang memberangsangkan. Malah, kedudukan ini dilihat selari dengan indeks kompetitif di mana kita di tangga ke-24 tahun lalu. Maka, Malaysia masih mempunyai elemen yang kuat untuk menarik pelaburan asing,” katanya.
Jelas Aimi Zulhazmi, perubahan iklim pelaburan begitu mencabar berdasarkan ekonomi global semasa terutama apabila kesan pandemik masih berpotensi untuk menganggu pemulihan ekonomi dunia dan Malaysia.
Disebabkan itu katanya, negara perlu bekerja keras untuk menarik FDI yang membawa pelaburan berteknologi tinggi seperti revolusi industri 4.0 (IR 4.0), farmaseutikal, dron, robot dan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan tenaga mahir daripada universiti dan kolej.
“Ini kerana, pengaliran FDI ke Malaysia yang sedikit berbanding negara jiran boleh dikatakan kerana pelabur lebih memilih negara jiran yang berpenduduk ramai dan mempunyai kos buruh yg lebih rendah dari Malaysia.
“Malaysia tidak lagi berkeupayaan menarik FDI berdasarkan model dahulu iaitu tenaga buruh yang mahir dan murah,” ujarnya. – UTUSAN