PETALING JAYA: Model popular seperti City, Civic dan CR-V telah membantu Honda merekodkan jualan keseluruhan sejuta unit di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, model berkenaan masing-masing merekodkan jualan sebanyak 37 peratus (City), 15 peratus (Civic) dan 11 peratus (CR-V).
Beliau berkata, jualan kesejuta unit merupakan pencapaian bersejarah Honda Malaysia sejak syarikat berkenaan memulakan jualan kenderaannya di negara ini pada 2001.
“Sejak itu, saban tahun kami telah memperkenalkan pelbagai model dengan teknologi termaju yang diterima baik oleh pasaran dan menjadi peneraju segmen.
“Kami ingin melahirkan rasa penghargaan kepada semua pelanggan Honda, rakan-rakan media, rakan kongsi pengedar kami dan kerajaan Malaysia atas sokongan padu mereka kepada Honda Malaysia. Sokongan kuat inilah yang memacu kami untuk mencapai jualan kesejuta unit,” katanya dalam kenyataan.
Bagi berkongsi kejayaan tersebut, Honda Malaysia telah menganjurkan Kempen 1 Milion Dreams baru-baru ini.
Acara 1 Million Dreams Grand Finale merupakan sambutan perjalanan Honda di Malaysia, bermula dengan jualan pertama pada 2001 dan pembukaan kilang produksi pemasangan tempatan pertama 2003
Menurut Honda, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan dengan lebih 155,600 penyertaan diterima hanya dalam tempoh sebulan kempen itu berjalan.
Sebanyak tujuh pemenang telah dipilih untuk membawa pulang model edisi khas yang direka unik bagi meraikan pencapaian bersejarah Honda.
Honda turut memperuntukkan sebuah model Jazz Edisi Has untuk dimenangi petugas barisan harapan.
“Ini merupakan inisiatif kami untuk menyatakan rasa penghargaan kepada semua barisan hadapan yang bekerja bertungkus-lumus sejak setahun lalu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia.
“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang bertuah. Tujuh pemenang ini merupakan tujuh rakyat Malaysia yang bertuah yang dapat memiliki model edisi khas yang direka unik bagi meraikan pencapaian bersejarah ini,” kata Ishiyama.
Sejak bertapak di Malaysia, Honda terus mencapai kecemerlangan dengan memperkenalkan teknologi termaju generasi seterusnya seperti Sport Hybrid i-DCD, Honda SENSING dan VTEC Turbocharged.
Malaysia juga merupakan negara pertama di dunia yang melancarkan City RS e:HEV serba baharu yang dilengkapi Honda SENSING dan Honda LaneWatch. – UTUSAN