PUTRAJAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah industri sawit negara kepada RM4,247.50 setiap tan semalam.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pada Khamis lalu harga MSM berada pada paras RM4,193 setan iaitu yang tertinggi sejak 13 tahun lalu.
Kesannya, harga Buah Tandan Segar (BTS) di Semenanjung melepasi Paras RM900 setiap tan sedangkan harganya setahun lalu hanya sekitar RM300 sahaja.
“Bersyukurlah, pasti nikmat ditambah oleh Allah. Sememangnya ‘Sawit Anugerah Tuhan’,” katanya dalam hantaran di laman Facebook semalam.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga MSM berpotensi untuk terus kekal tinggi berdasarkan kepada sentimen pasaran yang positif ketika ini iaitu paras stok yang rendah, peningkatan eksport minyak sawit dan pengukuhan harga minyak kacang soya di pasaran dunia.
Data MPOB juga menunjukkan, komoditi itu mencatatkan harga purata RM3,895.50 setan metrik sepanjang bulan lalu.
“Data yang sama menunjukkan harga MSM tertinggi yang dicatatkan pada tahun lalu ialah RM3,788 setan,” menurut data itu.
Kelmarin Bloomberg melaporkan, harga minyak sawit dijangka mencatatkan prestasi tahunan terbaik dalam tempoh sedekad walaupun pandemik Covid-19 tidak mencatatkan sebarang penurunan di seluruh dunia. – UTUSAN