PETALING JAYA: Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. (Gardenia Bakeries) melancarkan NuMee Keluarga, mi kuning dengan pek keluarga yang lebih jimat dan berpatutan.
Menurut Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries, Ena Suhaila Abas, NuMee Keluarga merupakan produk berkualiti syarikat yang dihasilkan khusus buat keluarga lebih besar dengan setiap pek mengandungi 900 gram dan cukup untuk hidangan enam hingga sembilan orang dewasa.
Beliau berkata, NuMee Keluarga diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi dan tidak dipastur, tanpa pewarna dan lebih kenyal.
“Gardenia sangat komited dalam menjaga kualiti kesegarn produk mereka kepada semua pengguna dan NuMee Keluarga merupakan satu pilihan yang tepat untuk keluarga B40.
“Situasi pandemik telah memberi kesan kepada banyak keluarga dengan para ibu mahu lebih berjimat dan memilih produk berkualiti pada harga berpatutan.
“Kami menyedari impak ini dan telah mencipa satu produk yang menawarkan pilihan ekonomi. Kini para ibu boleh menarik nafas lega,” katanya dalam kenyataan.
Ena Suhaila berkata, ibu-ibu telah menggunakan mi kuning alternatif kepada nasi sebagai menu harian dan NuMee Keluarga menerapkan idea itu serta menggalakan ikatan kekeluargaan melalui semangkuk hidangan mi yang enak.
“Agak sukar sebenarnya mahu memasak sesuatu yang kreatif tetapi berpatutan. NuMee Keluarga pasti memberi inspirasi kepada para ibu di Malaysia,” tambahnya.
Selain memberi pilihan terbaik kepada para ibu di Malaysia, NuMee Keluarga juga merupakan satu pilihan yang sesuai kepada para pengusaha katering dan restoran.
NuMee Keluarga dijual pada harga RM2.50 sepaket dan boleh didapati di pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia. – UTUSAN