juan Tanah Persekutuan (Felda) terus meningkatkan pegangannya di dalam FGV Holdings Berhad (FGV) apabila membeli tambahan 467,300 lagi saham syarikat itu pada harga RM1.30 sesaham di pasaran terbuka.
FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, pembelian itu dibuat kelmarin berdasarkan tawaran pengambilalihan wajib tanpa syarat oleh Felda untuk memperoleh semua saham FGV yang masih ada.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Felda sudah memiliki sebanyak 77 peratus saham FGV bagi memenuhi pelan pemulihan yang dilaksanakan kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, badan berkanun itu kini masih memerlukan 13 peratus lagi saham FGV untuk mengeluarkannya daripada Bursa Malaysia.
Jelas beliau, jumlah pegangan saham berkenaan dianggap penting dalam usaha untuk memulihkan Felda yang dihimpit pelbagai isu sejak kebelakangan ini.
“Berdasarkan perkembangan terbaharu, Felda sudah membeli saham FGV sebanyak 77 peratus berbanding hanya 34 peratus sebelum ini.
“Selain itu, kerajaan sudah meluluskan penerbitan sukuk berjumlah RM9.9 bilion iaitu sebanyak tiga kali bermula hujung bulan ini,” kata Mustapa.
Media sebelum ini melaporkan, Felda memperoleh 22 juta saham FGV di pasaran terbuka dengan harga RM28.38 juta, iaitu RM1.29 sesaham pada 13 Januari lalu.
Felda sebelum itu mengeluarkan dokumen berhubung tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi baki saham di FGV tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.
Tawaran RM1.30 sesaham dibuka untuk penerimaan hingga 2 Februari lalu melainkan dilanjutkan atau disemak semula dengan pengumuman akan dibuat Maybank IB, dua hari sebelum tarikh tutup.
Pada 8 Disember lalu, Felda yang sudah memiliki 21.24 peratus saham dalam FGV, meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus. – UTUSAN