LONDON: Facebook Inc. bersetuju membayar kandungan berita News Corp. milik jutawan media, Rupert Murdoch di Australia untuk tempoh tiga tahun.
Perjanjian itu menyelesaikan pertikaian di antara penerbit di negara itu dan syarikat gergasi teknologi mengenai pembayaran untuk artikel berita.
Perjanjian merangkumi kandungan dari akhbar nasional News Corp., The Australian serta Daily Telegraph, Herald Sun dan Courier-Mail. Sky News Australia itu turut mencapai perjanjian baharu dengan Facebook.
Ketua Pegawai Eksekutif News Corp., Robert Thomson berkata, perjanjian itu akan memberi kesan yang penting dan bermakna kepada perniagaan berita di Australia kerana pengguna Facebook akan mendapat akses artikel berita dan video terkini daripada penerbitan News Corp.
“Perjanjian ini menjadi penanda aras dan transformasi terma perdagangan dalam kewartawanan, sekali gus memberi kesan positif kepada perniagaan berita Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Rakan Berita Facebook Australia dan New Zealand, Andrew Hunter, mengesahkan perjanjian terbabit dan memaklumkan syarikat itu komited menyalurkan berita Facebook kepada Australia.
Perjanjian ini hasil usaha News Corp. yang membuat tuntutan selama bertahun-tahun terhadap syarikat teknologi gergasi dunia. Bulan lalu, News Corp. dan Google Alphabet Inc. mencapai perjanjian sama untuk tempoh tiga tahun.
Parlimen Australia sebelum ini meluluskan undang-undang mewajibkan firma gergasi digital global membayar bagi kandungan berita tempatan.
Google kini perlu membayar kandungan berita yang disiarkan menerusi panel Showcase pada laman sesawang itu. Facebook pula membayar kandungan berita yang disiarkan pada produk News, ciri tambahan yang akan diperkenal di Australia pada tahun ini.
Facebook sedang berbincang dengan penerbit Australia mengenai rancangan untuk melancarkan tab Berita di Australia. Ia mempunyai perjanjian serupa dengan penerbit di pasaran negara yang sudah mewujudkan tab berita seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Bulan lalu, Facebook mula menyekat perkongsian berita di platform media sosialnya di Australia sebagai tanda protes terhadap cadangan undang-undang kontroversi yang mengarahkan syarikat teknologi membayar penerbit apabila artikel mereka dimuat naik oleh pengguna.
Australia kemudian meluluskan undang-undang tersebut namun di saat akhir berkompromi dengan memberi kelonggaran kepada syarikat teknologi memilih tawaran komersial bersesuaian, dan mereka hanya akan menghadapi timbang tara paksa sebagai pilihan terakhir. – AGENSI