GENEVA: Ekonomi global diunjur tumbuh 4.7 peratus tahun ini antara lain didorong oleh pemulihan kukuh ekonomi Amerika Syarikat (AS), menurut laporan Persidangan Pembangunan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) semalam.
Sebelum ini, UNCTAD mengunjurkan ekonomi global tumbuh pada kadar 4.3 peratus mengambil kira krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Bagaimanapun, badan dunia itu menyemak semula unjurannya mengambil kira jangkaan perbelanjaan pengguna di AS yang meningkat hasil daripada program vaksinasi dan pakej rangsangan ekonomi besar yang diumumkan kerajaan.
“Pemulihan ekonomi global yang bermula pada suku ketiga 2020 dijangka berterusan tahun ini, walaupun banyak ketidaksesuaian dan ketidakpastian, mencerminkan dasar epidemiologi dan ketidakpastiaan koordinasi,” jelas laporan itu.
Awal bulan ini, Pertubuhan Kerjasama Pembangunan Ekonomi (OECD) yang dianggotai oleh lebih 37 buah negara, turut menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global 2021 daripada 4.2 peratus kepada 5.6 peratus.
Bagaimanapun, UNCTAD dalam laporan setebal 22 muka surat itu menyatakan, Covid-19 tetap memberi impak kepada ekonomi dalam jangka masa panjang dan menuntut usaha berterusan daripada kerajaan untuk menanganinya.
Sementara itu, firma penarafan Fitch Ratings turut menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun ini kepada 6.1 peratus daripada 5.3 peratus yang dibuat pada Disember tahun lalu.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Global Mac 2021, firma berkenaan berkata, prospek pertumbuhan ekonomi global semakin baik disokong oleh peningkatan fiskal dan penyesuaian ekonomi kepada penjarakan sosial dan program vaksinasi.
Firma itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global lebih kukuh pada suku keempat 2020 terutama di Eropah dan pasaran baharu muncul, dengan KDNK dunia menguncup 3.4 peratus berbanding jangkaan awal sebanyak 3.7 peratus.
Katanya, pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini diunjur 2.5 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik pada 2019.
Ketua Ekonomi Fitch, Brian Coultan berkata, pandemik belum berakhir, namun dunia kelihatan telah memasuki fasa terakhir krisis ekonomi.
Fitch meramalkan ekonomi AS tumbuh 6.2 peratus tahun ini berbanding unjuran awal 4.5 peratus, sementara ekonomi China tumbuh 8.4 peratus daripada 8 peratus, manakala blok Eropah kekal pada 4.7 peratus.
Bagi pasaran baharu tidak termasuk China, firma berkenaan menjangkakan pertumbuhan sebanyak 6 peratus daripada 5 peratus sebelumnya.
Jelasnya, antara pemacu utama kepada semakan semula unjuran KDNK global adalah pakej rangsangan besar yang diumumkan oleh AS. – AGENSI