PETALING JAYA: Pembeli China mendapat kebenaran untuk mengimport minyak sawit merah dari Malaysia selepas negara tersebut mengumumkan pelaksanaan Standard Kumpulan China untuk Minyak Sawit Merah pada 1 Mac lalu.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, minyak sawit merah sebelum ini tidak dibenarkan untuk diimport ke dalam China disebabkan spesifikasi warna yang ditetapkan dalam Standard China untuk Minyak Sawit, iaitu pada tahap maksimum 3.0 merah.
Kebanyakan minyak sawit merah yang dihasilkan di Malaysia dikesan pada 7.0 merah dan ke atas.
“Standard Kumpulan China yang diumumkan baru-baru ini membenarkan pengimportan minyak sawit merah tanpa sekatan berkuat kuasa 1 Mac 2021.
“Kami berharap pengeksport Malaysia dapat merebut peluang keemasan ini untuk menjual minyak sawit merah yang premium dan bernutrisi kepada China yang mempunyai pasaran pelbagai segmen dengan pengguna yang paling pelbagai di dunia,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Menurut Ahmad Parveez, Standard Kumpulan China adalah hasil daripada libat urus pelbagai pemegang taruh dan kerjasama dua hala yang ekstensif antara MPOB dengan pihak berkuasa China yang terlibat.
Katanya, pada 2014 dan 2015, MPOB mengadakan program intervensi dengan Universiti Lanzhou bagi menangani isu kekurangan vitamin A dalam kalangan 2,000 pelajar sekolah di daerah Gansu melalui penggunaan minyak sawit merah yang mengandungi karotena, antioksidan yang kuat dan boleh membekalkan vitamin A kepada badan.
“Program tersebut secara efektif membantu mengurangkan kejadian kekurangan vitamin A dalam kalangan pelajar daripada 26.1 peratus kepada 6.1 peratus selepas tempoh enam bulan intervensi.
“MPOB berbangga dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini yang dijalankan secara bersama dengan Persatuan Nutrisi China,” katanya.
Malah, MPOB melalui pejabat serantaunya di Shanghai yang turut dikenali sebagai Institut Penyelidikan Minyak Sawit dan Perkhidmatan Teknikal MPOB (PORTSIM China) bersama pemain industri tempatan dan institut penyelidikan juga telah secara bersama menghasilkan makanan dan makanan haiwan yang diformulasi menggunakan minyak sawit merah. – UTUSAN ONLINE