Canadian Pacific beli Kansas City Southern - Utusan Malaysia

Canadian Pacific beli Kansas City Southern

Pembelian Kansas City Southern membolehkan Canadian Pacific memiliki landasan kereta api merentasi AS, Mexico dan Kanada seterusnya menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada penduduk setempat. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU/NEW YORK: Canadian Pacific Railway Ltd. bersetuju untuk memiliki Kansas City Southern (CS) dalam perjanjian tunai dan saham bernilai AS$25 bilion (RM102.69 bilion).

Perjanjian itu akan memboleh­kan Canadian Pacific memiliki landasan kereta api merentasi Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Ia akan menjadi kombinasi terbesar landasan kereta api di Amerika Utara dari segi nilai transaksi.

Perjanjian itu dipersetujui di kala rantaian bekalan dalam industri tersebut memulih setelah terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ia berlaku selepas ratifikasi Perjanjian AS-Mexico-Kanada (USMCA) tahun lalu yang menying­kirkan ancaman ke­tegangan dagangan yang timbul di bawah pemerintahan bekas Presiden AS, Donald Trump.

Ketua Eksekutif Canadian Pacific, Keith Creel berkata, rangkaian tersebut secara unik menyediakan rantaian bekalan yang membenarkan pelanggan dan rakan kongsi mereka memanfaatkan peluang yang hadir.

“Fikirkan apa yang kami lalui, fikirkan kepentingan pendekatan pesisir yang berlaku kepada Amerika Utara,” katanya dalam wawancara bersama Reuters.

Penggabungan tersebut memerlukan kelulusan Lembaga Pengangkutan Permukaan AS (STB) dan Canadian Pacific menjangka ia akan selesai pada pertengahan 2022.

Ia memandangkan perjanjian tersebut akan menggabungkan landasan kereta api terkecil antara tujuh landasan yang dikatakan sebagai Kelas I di AS, yang bertemu di Kansas City dan tidak mempunyai tindanan di sepanjang laluannya.

STB mengemas kini peraturan penggabungannya pada 2001 bagi memperkenalkan syarat supaya landasan Kelas I perlu me­nunjukkan perjanjian penggabu­ngan yang dimeterai adalah untuk kepentingan awam.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada Kansas City Southerm kerana saiznya yang kecil.

Ahli ekonomi, Clifford Winston berkata, perjanjian tersebut dijangka tidak akan mewujudkan apa-apa kebimbangan kerana ia merupakan penggabungan menegak atau hujung ke hujung.

“Rangkaian mereka sesuai antara satu sama lain dan ia membantu memberikan Amerika Utara perkhidmatan yang sebenar,” katanya yang merupakan felo kanan di Brookings Institution dalam pengkhususan sektor pengangkutan.

Jurucakap STB berkata, pihaknya belum menerima makluman daripada syarikat yang terlibat untuk memulakan proses semakan rasminya dan tidak mahu mengulas lanjut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya