PETALING JAYA: MKH Berhad dan Panasonic Homes Malaysia Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Panasonic Homes Group, akan melancarkan blok baharu MIRAI Residences di Kajang 2 pada bulan ini.
MKH dalam satu kenyataan memberitahu, blok baharu itu merangkumi 384 unit dengan dua atau tiga bilik tidur berkeluasan 578, 840, dan 931 kaki persegi.
“Harga bermula dari RM320,000. Jualan fasa pertama sebanyak 784 unit telah dilancarkan pada 30 September tahun lepas.
“Walaupun aktiviti jualan agak terhad berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun reaksi pasaran bagi fasa pertama memberangsangkan dengan menerima sebanyak 90 peratus tempahan,” katanya.
Perkembangan itu katanya, telah memberi keyakinan kepada syarikat untuk melancarkan fasa kedua MIRAI Residences.
Menurut syarikat pemaju hartanah itu, MIRAI Residences merangkumi empat blok pangsapuri perkhidmatan yang menawarkan 1,496 unit kediaman, dijangka siap pada September 2024.
Projek tersebut menggabungkan pengetahuan dan teknologi Panasonic Homes Malaysia yang telah diusahakan di Jepun. Setiap unit juga dilengkapi dengan Sistem Ventilator Pembaikan Udara dan penyaman udara dengan teknologi nano.
“Dengan sistem Ventilator Pembaikan Udara bergantung kepada jenis unit, pertukaran haba dan kelembapan antara udara udara panas luar dan udara dalaman yang telah disejukkan oleh penghawa dingin tanpa bercampur.
“Terdapat juga penyaman udara dengan teknologi nano untuk unit-unit yang akan membantu memberishkan udara dalam ruangan tanpa perlu membuka tingkap,” jelasnya.
Tambah syarikat itu, dengan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat terhadap udara dalaman yang berkualiti, MKH menyasarkan untuk menyediakan penduduk persekitaran yang selamat dan selesa.
MIRAI Residences juga akan menampilkan lebih 40 kemudahan gaya resort, termasuk gelanggang futsal, trek joging, kolam renang, bilik gimnasium, ruang barbeku dan pertanian bandar. – UTUSAN