PETALING JAYA: British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) terus membuktikan dedikasi organisasi dalam menyediakan amalan pekerjaan terbaik setelah menerima anugerah Majikan Terbaik 2021 untuk tahun ketiga berturut-turut.
Amalan tersebut turut membolehkan pekerja membangunkan diri secara peribadi dan profesional, sambil mendorong peningkatan perniagaan.
Pengarah Urusannya, Jonathan Reed berkata, anugerah itu adalah penghargaan kepada organisasinya dalam menyerlahkan bakat dengan mencipta persekitaran kerja yang menarik dalam waktu sukar ini.
“Kami menggerakkan organisasi ke arah masa depan yang lebih baik. Kami percaya ia memberi semangat kepada pekerja kami, memupuk persekitaran kerja yang kondusif dan bermanfaat serta mempromosikan nilai jangka panjang yang mampu bertahan.
“Pekerja yang berbakat adalah aset terpenting syarikat. Oleh itu, kita harus kreatif dan dapat menyesuaikan diri dengan cara kita menjaga dan berhubung dengan pasukan, walaupun berdepan ancaman wabak global,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Jonathan, dengan langkah bekerja dari rumah yang dinormalisasikan sejak kedatangan wabak Covid-19, BAT Malaysia harus menyesuaikan diri dengan memanfaatkan alat digital dan maya dalam memastikan seluruh tenaga kerja tetap mempunyai motivasi tinggi.
“Menyedari bahawa kesejahteraan mental sama pentingnya dengan kesihatan, syarikat juga memperkenalkan program kesejahteraan baharu iaitu We Care untuk memberi pekerja akses kepada pelbagai perkhidmatan berkaitan kesihatan termasuk psikologi, pakar diet, dan jurulatih kecergasan,” ujarnya. – UTUSAN