PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad (AirAsia) telah memeterai memorandum persefahaman dengan Aimia Holdigs UK II Limited (Aimia) untuk cadangan pengambilalihan keseluruhan baki saham biasa berjumlah 1,665,000 dalam BigLife Sdn. Bhd. (BigLife) yang masih belum dimiliknya.
Jualan itu mewakili 20 peratus kepentingan ekuiti dalam BigLife kepada AirAsia Digital Sdn. Bhd. (AirAsia Digital), anak syarikat milik penuh AirAsia, akan menerima terbitan saham berjumlah 85.86 jta atau tambahan sebanyak 2.2 peratus kepentingan dalam AirAsia.
Ia akan meningkatkan kepentingan ekuiti Aimia kepada kira-kira 3.1 peratus daripada 0.93 peratus dalam AirAsia setelah transaksi tersebut selesai, berikutan penyertaan Aimia dalam penempatan saham swasta tahap kedua syarikat penerbangan itu baru-baru ini.
Menurut AirAsia dalam kenyataan, transaksi tersebut dijangka selesai sebelum akhir Mei ini.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, data dan program kesetiaan adalah dua faktor utama kejayaan dalam era digital.
Beliau berkata, syarikat mengharga kerjasama dengan Aimia dan ia adalah transaksi yang akan memberi banyak faedah kepada kedua-dua pihak.
“Sebagai pelabur institusi global terkemuka yang menyertai kami melalui penempatan saham swasta tahap kedua, kami berbesar hati dengan keputusan Aimia untuk mengukuhkan kedudukan mereka di AirAsia.
“Ia menjadikan kami lebih yakin dalam melaksanakan strategi pemulihan pasca pandemik melalui transformasi digital dan perniagaan berasaskan data,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Tony, BigLife bermula sebagai sebuah program ganjaran syarikat penerbangan standard, kini berkembang untuk menawarkan mata wang digital kepada pengguna bagi mengumpul dan menebus Big Poin di seluruh ekosistem produk perjalanan dan gaya hidup AirAsia, termasuk di luar platform AirAsia Super App.
“BIG REwards oleh BigLife kini menjadi satu daripada platform ganjaran gaya hidup terbesar di ASEAN dengan lebih 25 juta ahli.
“Dengan pemilikan penuh BigLife, kami akan mempunyai lebih fleksibiliti untuk memacu inovasi dan perkembangannya sebagai platform penebusan utama di ASEAN, termasuk program pertukaran mata ganjaran kami, BIG Xchange, yang membolehkan ahli menukar mata ganjaran perbankan dan program kesetiaan lain dengan segera menerusi hab pertukaran universal untuk penukaran mata ganjaran dua hala bagi program kesetiaan,” katanya. – UTUSAN