PETALING JAYA: Berjaya Corporation Berhad (BCorp) melantik bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BCorp yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ini menjadikan Abdul Jalil satu-satunya bukan ahli keluarga Tan Sri Vincent Tan yang menguruskan empayar perniagaan itu.
Pelantikan itu dibuat selepas penyandang jawatan terdahulu, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif BCorp.
Abdul Jalil akan bekerjasama dengan Pengerusi Eksekutif BCorp, Tan Sri Vincent Tan dan Robin sebagai Jawatankuasa Eksekutif, sekali gus terlibat dalam semua keputusan strategik dan merancang arah perniagaan BCorp di masa hadapan.
Menurut Abdul Jalil, beliau gembira dapat berkhidmat dengan syarikat tersebut selepas menjalani perbincangan selama berbulan-bulan bersama Pengerusi Eksekutifnya.
“Kami berdua bersetuju yang Kumpulan dinilai sangat rendah sedangkan mempunyai banyak aset yang dapat dioptimumkan dan direalisasikan untuk meningkatkan nilai pemegang saham.
“Saya teruja dengan keistimewaan dan kehormatan kerana telah diberi tanggungjawab besar sebagai individu pertama bukan merupakan ahli keluarga menyertai barisan eksekutif Kumpulan. Inilah maksud perubahan yang kita akan lihat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Abdul Jalil mempunyai pengalaman pelaburan dan kepemimpinan perniagaan selama 18 tahun setelah bekerja di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura serta firma pelaburan global, Aberdeen Standard Investments dan Invesco Limited. Selain pengalaman dalam bidang pelaburan, Abdul Jalil juga berpengalaman dalam tadbir urus korporat.
Sementara itu, Vincent menjelaskan, setelah bertahun menerajui Kumpulan dan bertahan dengan beberapa krisis kewangan global serta situasi pandemik Covid-19, beliau menyedari sudah tiba masanya menyelaraskan cara pengendalian organisasi.
“Saya dan Robin turut berpendapat kita perlu melihat semula perniagaan, kekuatan dan kekurangan kami dan bagaimana memastikan kami kekal relevan di masa hadapan walau perlu menghadapi cabaran.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Robin dan Abdul Jalil untuk mencapai objektif ini dan meletakkan Kumpulan pada tahap yang lebih kukuh untuk masa depan,” ujarnya. – UTUSAN