PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan tujuh pengendali, terdiri daripada entiti dan individu berkaitan, untuk menghenti dan menamatkan semua aktiviti berkaitan dengan nasihat pelaburan yang tidak berlesen.
Tujuh pengendali dan penasihat tidak berlesen itu adalah Don Trader / DT Academy Sdn. Bhd., Engineer Saham / Ergonamos Marketing – Mohd. Faizal Raihan, Felix Consulting, Lifestyle Trading Masterclass / LTM Tech – Jeremy Looi Chee Keong, One Stock Centre / Stock Advisor / The SuperInvestor / SA Expert Consultancy – Logeswaran Balasubramaniam, Serikandi Saham / Thoriq Legacy Sdn. Bhd. – Fatin Fatini Ismadi dan Teknik Saham – Fazlisyam Md. Isa.
SC dalam kenyataannya memaklumkan, perintah henti dan hindar tersebut dikeluarkan berikutan pemerhatian bahawa pengendali terbabit menjalankan perniagaan memberi nasihat mengenai sekuriti atau derivatif, termasuk memberikan cadangan pelaburan saham-saham setelah pembayaran fi dibuat.
Katanya, menyediakan nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia yang memerlukan lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
“Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan yang menyediakan nasihat pelaburan tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah CMSA yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.
“Aktiviti ini biasanya dijalankan dalam kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan melalui Telegram, Whatsapp dan Facebook,” kata kenyataan itu.
SC juga telah menyenaraikan semua pengendali di atas dengan butiran mereka yang relevan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, http://www.sc.com.my/investor-alert.
Selain itu, SC turut memberi amaran kepada pengendali webinar, seminar, media sosial dalam talian, dan bilik sembang aplikasi pesanan yang lain agar berhenti menjalankan aktiviti
nasihat pelaburan tanpa lesen.
SC memantau rapi perkara ini dan, sekiranya wajar, akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sekuriti.
Orang ramai juga diminta agar melaporkan kepada SC sekiranya mereka telah dihubungi oleh individu tidak berlesen yang menawarkan nasihat pelaburan modal di [email protected] atau hubungi talian + 603-6204 8999. – UTUSAN