6 kedai H&M di China dipaksa tutup - Utusan Malaysia

6 kedai H&M di China dipaksa tutup

SEKURANG-KURANGNYA enam kedai H&M di bandar Urumqi, Yinchuan, Changchun dan Lianyungang telah ditutup selepas diarah pemilik bangunan. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sekurang-kurangnya enam kedai Hennes & Mauritz (H&M) di China dipaksa tutup sebagai tindakan balas terhadap kelantangan syarikat fesyen antarabangsa itu mempersoalkan penggunaan buruh paksa dalam industri kapas di Xinjiang.

Perkara itu sekali gus dikhuatiri mewujudkan ancaman gangguan pertumbuhan syarikat fesyen tersebut memandangkan China merupakan pasaran keempat terbesarnya. Syarikat ini mempunyai 505 kedai di China pada 30 November.

Menurut pengusaha pusat membeli-belah dihubungi Bloomberg, sekurang-kurangnya enam kedai H&M di bandar Urumqi, Yinchuan, Changchun dan Lianyungang telah ditutup selepas diarah pemilik bangunan.

Media tempatan China juga telah melaporkan lebih banyak penutupan, dengan gambar papan iklan jenama H&M diturunkan.

Penutupan itu adalah tindak balas terbaharu terhadap kenyataan tidak bertarikh H&M di laman webnya yang mengutarakan kebimbangan mengenai laporan pekerja paksa di wilayah barat daya Xinjiang, pengeluar utama kapas yang digunakan dalam rantaian bekalan pakaian global.

China menyumbang 5.2 peratus daripada jumlah penjualan H&M pada tahun 2020, pasaran keempat terbesar selepas Jerman, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Jenama Barat lain seperti Nike Inc. dan Adidas juga menimbulkan kemarahan pengguna China kerana berjanji untuk tidak menggunakan kapas Xinjiang, tetapi H&M menerima impak lebih besar setelah kenyataan itu dikeluarkan oleh Liga Pemuda Komunis dan Tentera Pembebasan Rakyat.

Cawangannya juga telah hilang dari carian Apple Maps dan Baidu Maps, sekali gus menyukarkan pengguna China untuk mencari kedai pakaian ternama itu. Ia juga dikeluarkan dari platform e-dagang China.

Walaupun pernyataan H&M telah dipadamkan dari laman web syarikat multinasional Sweden itu Jumaat lalu, pautan berasingan di laman utama yang menyatakan pendirian mengenai kapas Xinjiang masih aktif.

Jenama global menghadapi dilema sama ada terus mendapatkan bekalan kapas dari wilayah tersebut atau berdepan risiko diboikot negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Jumaat lalu, AS menuduh China memulakan boikot korporat dan pengguna terhadap syarikat yang enggan menggunakan kapas dari Xinjiang. China telah menyasarkan syarikat Amerika, Eropah dan Jepun dalam perkara itu.

Menurut jurucakap Kementerian Perdagangan China, Gao Feng, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan agenda memalukan industri kapas Xinjiang dengan maklumat tidak tepat.

“Apa yang dilakukan pengguna China adalah tindak balas terhadap keputusan perniagaan yang dibuat oleh beberapa syarikat berdasarkan maklumat palsu. Kami berharap syarikat-syarikat berkenaan akan menghormati undang-undang pasaran, membetulkan amalan yang salah dan menghindari politikisasi masalah komersial,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya