Wujudkan peraturan kawal selia industri vape - MEVTA - Utusan Malaysia

Wujudkan peraturan kawal selia industri vape – MEVTA

SYAMIL HANAFIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEATALING JAYA: Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA) menyokong cadangan Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) supaya kerajaan mengambil langkah segera mewujudkan peraturan mengawal selia industri vape di Malaysia seterusnya merealisasikan potensi industri berkenaan.

MEVTA merupakan badan persatuan industri vape yang mewakili lebih 2,000 ahli dalam kalangan peniaga yang berniaga dalam industri vape di negara ini.

Persatuan itu turut mengakui industri vape di negara ini berpotensi besar dan telah berkembang menjadi satu industri yang matang serta mempunyai ekosistem teratur terdiri daripada pengilang, pengimport serta pekedai vape, majoritinya golongan bumiputera.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung MEVTA, Syamil Hanafiah, ramai usahawan tempatan terutamanya bumiputera telah melabur dalam industri vape sejak sedekad yang lalu, memperlihatkan industri berkenaan semakin berkembang sehingga hari ini dengan wujudnya satu ekosistem yang teratur.

“Kami berpendapat terdapat lebih banyak usahawan tempatan akan dilahirkan dalam industri ini termasuk pelaburan domestik dan pelaburan langsung asing sekiranya peraturan yang sewajarnya dibuat dan diperkenalkan untuk industri vape di Malaysia.

“Ini bukan sahaja dapat menjana aktiviti ekonomi untuk usahawan dan peniaga tempatan, malah mencipta peluang pekerjaan terutamanya untuk golongan bumiputera.

“MEVTA berpendapat, industri ini akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam industri vape terutamanya dalam bidang pembuatan, pemasaran, pengedaran dan penjualan apabila peraturan yang sewajarnya diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syamil mengulas hasil kajian yang dijalankan oleh Green Zebras, agensi penyelidikan pasaran yang dilantik Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), mendedahkan terdapat lebih 3,300 perniagaan yang terlibat secara langsung dalam industri vape dengan tenaga kerja lebih 15,000 orang, sebahagian besar golongan muda di bawah 30 tahun.

Kajian itu menunjukkan, industri vape di negara ini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion dengan pekerja dalam industri berkenaan dibayar gaji mencecah RM450 juta pada 2019.

Kajian tersebut turut menunjukkan terdapat 1.12 juta pengguna vape di Malaysia berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengulas lanjut, Syamil berakta, MEVTA percaya saiz industri berkenaan adalah lebih besar kerana ramai dalam industri yang merangkumi pekedai sehingga pengilang memilih untuk tidak membuat pemasaran secara terbuka.

“Ini adalah kerana pihak KKM masih lagi tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape walaupun semakin ramai perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape kerana ramai sedar ia telah terbukti di peringkat antarabangsa bahawa vape kurang mudarat berbanding merokok dan efektif membantu perokok berhenti merokok.

“Agensi kesihatan United Kingdom (UK), Public Health England telah merumuskan bahawa vape adalah 95 peratus kurang mudarat berbanding merokok dan pendirian ini disokong pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan awam antarabangsa serta agensi kesihatan New Zealand dan Kanada.

“Perkara ini telah disampaikan pihak MEVTA kepada KKM sejak beberapa tahun yang lalu. Namun pihak KKM masih tegas tidak membuat pengiktirafan yang sewajarnya ke atas produk vape,” kata beliau.

Tambah beliau, MEVTA juga berpendapat percukaian eksais yang diperkenalkan ke atas produk vape perlu diperluaskan merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin.

“Buat masa ini, hasil cukai kerajaan daripada industri vape adalah sangat kecil kerana cukai hanya dikenakan kepada produk yang tidak bernikotin. Mengikut anggaran MEVTA, tidak sampai 1 peratus produk vape yang tidak mengandungi nikotin terjual di pasaran pada masa ini.

“Oleh itu, percukaian eksais ini perlu diperluaskan merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin. Peraturan perlu diperkenalkan dengan segera termasuk peraturan yang membenarkan nikotin digunakan dalam cecair vape seperti yang dilihat di negara maju,” kata Syamil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya