SYDNEY: Saham Asia melonjak ke rekod tertinggi semalam selepas kejayaan pengedaran vaksin di seluruh dunia meningkatkan harapan untuk pemulihan ekonomi segera ketika Washington mengumumkan bantuan fiskal baharu.
Indeks penanda aras MCSI Asia Pasifik di luar Jepun menokok 0.4 peratus kepada 736.4.
Indeks Nikkei Jepun pula meningkat 1.1 peratus walaupun data menunjukkan pemulihan negara itu daripada kemelesetan paling teruk selepas perang perlahan pada suku keempat.
Indeks penanda aras Australia naik 0.9 peratus sementara hadapan E-mini untuk S&P 500 meningkat 0.3 peratus dalam dagangan awal Asia.
Pasaran China dan Hong Kong ditutup sempena Tahun Baharu Cina dan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) juga ditutup semalam untuk cuti Hari Presiden.
Tarikan utama minggu ini mungkin minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS untuk Januari yang mana para penggubal polisi memutuskan untuk mengekalkan kadar sedia ada.
Data tentang inflasi dari United Kingdom (UK), Kanada dan Jepun akan didedahkan sementara ekonomi-ekonomi utama termasuk AS akan mengumumkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) awal untuk Februari.
Walaupun ahli ekonomi menjangkakan inflasi kekal terkawal dalam tempoh ini, apa yang dikatakan sebagai ‘dagangan deflasi’ mendapat perhatian baru-baru ini, sebahagian besarnya disebabkan vaksin Covid-19 dan harapan untuk perbelanjaan fiskal besar-besaran AS di bawah Joe Biden.
Biden berusaha mencapai kejayaan pertamanya sebagai Presiden dengan meminta sokongan dwiparti daripada pegawai tempatan untuk pelan bantuan Covid-19 pentadbirannya yang bernilai AS$1.9 trilion (RM7.67 trilion).
Ketua Strategi Pasaran Global Natixis Investment Managers Solution, Esty Dwek berkata, pasaran ekuiti akan terus baik selagi peningkatan inflasi berlangsung secara beransur-ansur.
“Walau bagaimanapun, tindakan-tindakan yang tidak cermat pasti akan memberi kesan kepada sentimen pelabur.
“Edaran kredit sudah mengetat dengan banyak tetapi ia masih mempunyai ruang untuk menyerap beberapa hasil yang lebih tinggi, menjadikan kami lebih selesa dengan risiko kredit berbanding risiko kadar faedah.
“Komoditi akan berguna untuk kitaran inflasi namun ia masih boleh terus pulih tanpa inflasi utama yang tinggi memandangkan ekonomi dibuka semula dan permintaan semakin baik,” katanya. – AGENSI