Untung bersih Westports RM654.49j - Utusan Malaysia

Untung bersih Westports RM654.49j

WESTPORTS dijangka meraih keuntungan lebih tinggi tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Westports Holdings Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 9.72 peratus atau RM63.59 juta kepada RM654.49 juta bagi keseluruhan tahun kewangan 2020 berbanding RM590.90 juta tahun sebelumnya.

Pada masa sama, pendapatan syarikat pengendali pelabuhan terbesar negara itu turut meningkat kepada RM1.97 bilion bagi tempoh 12 bulan tahun lalu berbanding RM1.78 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Menurut Westports, peningkatan pendapatan itu didorong oleh pendapatan lebih tinggi dalam segmen kontena dan aktiviti pembinaan daripada kerja pembangunan jeti pukal cecair baharu dan perkarangan kontena CT9 baharu di Zon Z.

Bagi tahun 2020, syarikat itu berkata, Westports mengendalikan kontena lebih rendah merangkumi 10.5 juta unit sepadan 20 kaki (TEU) mengambil kira volum kontena dan permintaan yang terkesan akibat sekatan pergerakan seluruh dunia bagi mengawal penularan Covid-19.

Westports memberitahu, bagi tempoh suku keempat 2020, pengendalian kontena berada pada tahap 2.8 juta TEU dengan kebanyakan pelabuhan seluruh dunia mengalami pengendalian halaman kontena lebih tinggi.

“Westports juga telah melabur RM323 juta perbelanjaan modal tahun lalu dengan kebanyakannya diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan operasi konvensional dan kontena.

“Halaman kontena Zon Z di CT9 baharu dengan kos berjumlah RM81 juta menyaksikan pengendalian penuh sebaik sahaja siap sepenuhnya. Pelaburan ini akan menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat dan Pelabuhan Klang,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam mengucapkan terima kasih kepada agensi kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang yang telah bekerjasama dan membimbing syarikat tersebut menghadapi cabaran terbesar Covid-19.

“Sebagai perkhidmatan penting kepada negara, input semua pihak telah memberi jaminan operasi pelabuhan tanpa gangguan.

“Dalam tahun yang menyaksikan perniagaan mengalami cabaran operasi dan kewangan, Westports telah bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pelanggan untuk menawarkan pengurangan yuran serta caj tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya