Untung bersih Matrix Concepts meningkat - Utusan Malaysia

Untung bersih Matrix Concepts meningkat

MOHAMAD HASLAH MOHAMAD AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) mencatatkan keuntungan bersih RM75.3 juta meningkat 15.3 peratus pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2020 (3Q20)

Keuntungan tersebut didorong oleh peningkatan hasil daripada pembangunan hartanah serta kerja-kerja pembinaan yang dipercepatkan.

Peningkatan prestasi juga disokong oleh perbelanjaan pentadbiran, sumbangan daripada syarikat usahasama di Indonesia, dan penyesuaian dalam penyediaan cukai. 

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, pendapatan kumpulan juga meningkat sebanyak 13.1 peratus kepada RM315.4 juta pada 3Q20.

“Daripada jumlah pendapatan, pengiktirafan hartanah kediaman dan komersial adalah berjumlah RM276.6 juta sementara pengiktirafan hartanah industri berjumlah RM31.1 juta.

“Hartanah pelaburan kumpulan pula menyumbang baki RM7.7 juta pada 3Q20,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohamad Haslah, Matrix Concepts berjaya mencapai sasaran untuk separuh pertama 2020 walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang bermula awal 2020. 

“Pertumbuhan yang signifikan dan peningkatan berturut-turut yang dicapai pada 3Q20 menunjukkan keberkesanan strategi kami dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu (Covid-19) dan menjadikan kami berada dalam landasan yang baik.

“Sementara itu, dalam memenuhi permintaan pasaran, bahagian jualan dan pemasaran  telah memperkenalkan kaedah inovatif dengan menggunakan platform media sosial dan secara maya,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya didorong oleh pertumbuhan rekod prestasi yang berterusan dalam prestasi kewangan syarikat dalam lingkungan yang belum pernah terjadi sebelumnya dengan sektor harta benda yang sudah agak mencabar sebelum berlakunya Covid-19 lagi.

“Kami percaya dengan pendekatan berhemah dan kedudukan kewangan yang sihat memberi kami ketahanan untuk terus memberikan pertumbuhan yang berterusan,” ujarnya.

Tambah beliau, untuk tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2020 (9M20), Matrix Concepts melaporkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM181.5 juta, walaupun berlaku pengurangan pendapatan sebanyak 8.7 peratus kepada RM739.4 juta. 

“Keuntungan bersih ini meningkat disebabkan oleh pengoptimuman kos daripada peningkatan aktiviti penjualan dan pemasaran maya yang disokong oleh peningkatan pengiktirafan hasil dari kemajuan pembinaan yang dipercepatkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Daripada pendapatan 9M20 kumpulan, hartanah kediaman dan komersial menyumbang RM646.6 juta, sementara penjualan harta tanah industri menyumbang RM70.7 juta. Baki RM22.2 juta terdiri daripada harta tanah pelaburan kumpulan. 

Selain itu, Mohamad Haslah berkata, syarikat akan melancarkan projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM773.2 juta dalam tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 31 Disember 2020. 

“Pelancaran pada suku ketiga 2020 berjumlah RM420 juta merangkumi empat projek baharu iaitu Delia @ Laman Sendayan dan Hessa @ Tiara Sendayan yang menampilkan 658 unit rumah teres dua tingkat di Sendayan Developments di Seremban dan Alaris @ Impiana Bayu serta Eloisa @ Impiana Damai menampilkan 234 unit rumah teres dua tingkat di Bandar Seri Impian di Johor. 

“Pada masa sama, syarikat mencatatkan penjualan hartanah baharu dari projek yang sedang dijalankan iaitu sebanyak RM865.3 juta pada 9M20. Syarikat juga mempunyai penjualan yang belum dibeli sebanyak RM963 juta yang akan memberikan pulangan pendapatan dalam 14 bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya