PETALING JAYA: Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melantik Datuk Ir. Baharin Din sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat tersebut berkuat kuasa 1 Mac depan.
Menurut TNB, Baharin akan menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang telah dilantik Kementerian Kewangan untuk mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya berkuat kuasa tarikh sama.
Amir Hamzah telah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB sejak April 2019.
TNB memberitahu, Baharin kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian yang bertanggungjawab menerajui bahagian perniagaan paling besar di syarikat tersebut.
“Beliau telah berkhidmat selama 36 tahun di TNB bermula tahun 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).
“Baharin merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elekrikal dari Syracuse University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Bond, Sydney,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN