TM ONE dilantik rakan digital Bank Islam - Utusan Malaysia

TM ONE dilantik rakan digital Bank Islam

Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Ahmad Taufek Omar selepas majlis menandatangani MoU antara Bank Islam dan TM ONE, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam melantik TM ONE sebagai rakan digital bagi mengoptimumkan operasi perniagaan seterusnya merealisasikan strategi transformasi digital bank berkenaan seperti yang disasarkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka itu bakal mempertingkat fungsi dan perkhidmatan ditawarkan sekali gus memenuhi keperluan dan jangkaan pasaran.

Ujarnya, langkah itu juga bagi mendapatkan kemajuan teknologi terkini dalam memudahkan pengurusan hal ehwal institusi dengan pihak-pihak berkepentingan ke arah menjadi Bank Islam pertama yang disenaraikan di negara ini.

“Kerjasama ini tepat pada masanya kerana pendigitalan akan menggerakkan infrastruktur teras yang akan menyokong tonggak strategik utama Bank Islam iaitu kemakmuran yang mampan, budaya berasaskan nilai, pemerkasaan masyarakat, tumpuan ke atas pelanggan dan ekonomi sebenar dalam membolehkan kami terus mara ke hadapan.

“Kita mahu meneroka peranan TM One dalam menjadi penyedia penyelesaian digital utama untuk Bank Islam bagi infrastruktur digital antaranya pusat data dan perkhidmatan Cloud (Alpha), analitik data raya dan penyelesaian keselamatan siber.

“Setiap penyelesaian ini akan memperkukuh infrastruktur dalam talian Bank Islam dan Pusat Pengalaman Digital (CDX) produk perbankan digitalnya, dengan menawarkan pengalaman pembelian yang baharu,” katanya.

Memorandum persefahaman (MoU) di antara dua entiti tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd. Shariff dan Naib Presiden Eksekutif dan Ke­tua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar, di sini.

Mengulas kerjasama tersebut, Ahmad Taufek berkata, pihak­nya menawarkan transformasi ke hadapan untuk pelanggan perusahaan dan sektor awam seperti Bank Islam sekali gus menepati peranan bank tersebut sebagai pemacu Digital Malaysia.

“Kami berbesar hati diberi peluang berkongsi kepakaran digital dengan Bank Islam ke­rana kami sedia maklum yang transformasi digital, keselamatan dan perlindungan data merupakan keutamaan pen­ting terutamanya kepada sektor perbankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya