PETALING JAYA: Penyedia infrastruktur sambungan dan digital negara, Telekom Malaysia Berhad (TM), memperluaskan kesalinghubungan internet ke lebih ramai rakyat Malaysia, terutama kumpulan B40.
Syarikat itu kini menyediakan akses WiFi percuma di hampir 60 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan lebih 1,000 pusat internet komuniti di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, kesalinghubungan adalah amat penting pada waktu ini kerana lebih ramai rakyat Malaysia berada di rumah terutamanya golongan pelajar yang perlu belajar secara dalam talian menerusi PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah).
“Kami berharap dengan adanya sambungan percuma itu, penduduk setempat terutamanya para pelajar dari keluarga B40 boleh menghadiri kelas dan menggunakan sepenuhnya perisian pembelajaran secara dalam talian agar mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.
“Mereka boleh menggunakan sepenuhnya data tanpa had untuk aplikasi pembelajaran dan sesi kelas secara dalam talian, terutamanya bagi calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bersiap sedia untuk peperiksaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), TM telah menyediakan akses WiFi percuma di 60 PPR terpilih sejak Januari sehingga 30 April ini, terutamanya bagi membantu calon-calon Sijil Pelajara Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selain membantu PdPR.
TM turut membantu lebih ramai masyarakat setempat dan para pelajar terutamanya di kawasan pinggir dan luar bandar di 563 WiFi Komuniti (WK), 437 Pusat Internet Komuniti (PIK) dan 37 Pusat Internet Desa (PID).
Selain itu, syarikat telekomunikasi itu turut bekerjasama dengan Yayasan Hasanah untuk menyokong inisiatif Tabung CERDIK yang telah diumumkan oleh kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2021.
Inisiatif itu akan menyaksikan syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) menyumbang RM150 juta untuk menyediakan komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 buah sekolah.
Sementara itu, saluran TV terrestrial baharu yang dikenali sebagai DiDik TV KPM yang akan menyiarkan kandungan berdasarkan kurikulum dan ko-kurikulum KPM juga diumumkan bagi membantu memudahkan PdPR dalam kalangan pelajar.
Dalam pada itu, TM menerusi unifi Mobile terus menyokong keperluan kesalinghubungan rakyat Malaysia dengan memberi data LTE 1GB (atau sehingga 30GB setiap bulan) secara percuma sehingga 30 April 2021.
Bagi calon SPM dan STPM pula, TM menerusi unifi Mobile prabayar #BEBAS menawarkan pakej data khas bagi membantu proses pembelajaran mereka.
Pakej khas itu menawarkan pas 15GB LTE pada harga RM20 sahaja, dengan tempoh sah 30 hari dan boleh didapati sehingga 30 April 2021. – UTUSAN