TIV automotif diunjur 580,000 - Utusan Malaysia

TIV automotif diunjur 580,000

PENINGKATAN volum jualan Proton sebanyak 20 peratus bakal memacu jumlah keseluruhan industri (TIV) negara tahun ini.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif dijangka mencatatkan peningkatan sehingga 10 peratus kepada 580,000 unit tahun ini.

Penganalisis CGS-CIMB Research, Mohd. Shanaz Noor Azam berkata, sasaran tersebut adalah lebih tinggi berbanding jangkaan awal firma penyelidikan berkenaan iaitu sebanyak 570,000 unit yang bakal dicatatkan keseluruhan industri tahun ini.

Menurut Mohd. Shanaz, ia didorong oleh unjuran volum jualan tinggi masing-masing oleh Proton iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus dan Perodua pertumbuhan tahunan berjumlah 13 peratus.

Mohd. Shanaz berkata, unjuran tersebut mengambil kira pelancaran model baharu seperti Proton X50 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak baharu Perodua iaitu D55L.

“Kami menjangkakan sektor automotif akan menghasilkan keputusan positif bagi suku keempat 2020 susulan penghantaran jualan kukuh.

“Sektor ini juga kekal berada di landasan kukuh untuk pemulihan pendapatan dalam tahun kewangan 2021 dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih sektor berjumlah 60 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.

CGS-CIMB Research turut mengatakan TIV pada bulan Disember 2020 melonjak 19.5 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada 68,836 unit disebabkan jualan tinggi merangkumi segmen kenderaan komersial dan penumpang ekoran kebimbangan insentif cukai jualan berakhir pada penghujung tahun lalu.

Bagi suku keempat 2020, sektor automotif merekodkan peningkatan tahunan sebanyak 14 peratus tinggi sebanyak 184,121 unit, melebihi rekod sebelumnya iaitu 181,247 unit dicatatkan pada suku keempat 2015.

Mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd. Shanaz berkata, ia mungkin mendorong kepada TIV yang rendah dalam suku pertama tahun ini.

Walau bagaimanapun, beliau berkata momentum jualan dijangka meningkat dalam suku kedua dan seterusnya didorong pemulihan kukuh ekonomi apabila vaksin Covid-19 tersedia.

“Kami turut menjangkakan sektor automotif akan menerima manfaat daripada peningkatan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengurangkan kos pengedar terhadap kit kenderaan pemasangan tempatan (CKD) yang diimport dan unit model diimport sepenuhnya (CBU),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya