PETALING JAYA: Sektor perniagaan perlu meneliti semula model operasi perniagaan dan meneroka peluang baharu melalui digitalisasi.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dengan penggunaan teknologi, ia akan menambahbaik kecekapan pengeluaran, seterusnya meningkatkan produktiviti dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Peningkatan dalam pengeluaran dan produktiviti akan menghasilkan keuntungan, dan dengan itu mengekapkan perniagaan serta pekerjaan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd. Uzir membangkitkan perkara itu susulan laporan Jabatan Perangkaan mengenai prestasi produktiviti buruh pada 2020 yang jatuh 5.4 peratus daripada 2.1 peratus tahun sebelumnya.
Kejatuhan itu berikutan krisis kesihatan dan pelbagai fasa kawalan pergerakan yang dilaksanakan sepanjang tahun, menjadikan nilai ditambah pekerja turun kepada RM88,899 daripada RM93,973 tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja tahun lalu meningkat 3.4 peratus dengan nilai RM42 berbanding 2019 dengan 2.2 peratus dan nilai per jam sebanyak RM41.
“Jumlah jam bekerja bagi 2020 adalah sebanyak 32 bilion jam (berbanding 2019, 35 bilion jam), berkurang 8.7 peratus (2019: 2.1 peratus). Sepanjang 2020, prestasi ekonomi yang ditunjukkan melalui nilai ditambah, jatuh kepada 5.6 peratus (2019: 4.3 peratus), manakala pekerja jatuh 0.2 peratus (daripada 2.1 peratus 2019,” katanya.
Bagi produktiviti buruh dalam negara pada suku keempat (S4) 2020 katanya, terus menurun kepada negatif 2.9 peratus selepas susut 2.2 peratus suku sebelumnya.
Menurut Mohd. Uzir, bagi tempoh itu, nilai ditambah per pekerja adalah sebanyak RM23,570 dengan jumlah bekerja berkurang 0.6 peratus kepada 15.2 juta orang, sementara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 3.4 peratus.
Tambah beliau, pada suku dilaporkan, jumlah jam bekerja menurun 2.7 peratus selaras dengan waktu operasi perniagaan yang lebih singkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), merekodkan jumlah jam bekerja sebanyak 8.6 bilion jam.
“Ini menyebabkan produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah pernjam bekerja turun sedikit 0.8 peratus kepada RM42 per jam setelah meningkat marginal 0.1 perats (RM41 per jam) pada suku ketiga 2020,” katanya.
Mengikut sektor ekonomi, kata Mohd. Uzir, pembuatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan pertumbuhan positif 3.2 peratus bagi produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja.
Sektor lain seperti sektor perlombongan dan pengkuarian terus merekodkan kejatuhan signifikan 9.1 peratus daripada 4.6 peratus suku sebelumnya.
Produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor pembinaan dan perkhidmatan masing-masing jatuh 8.4 peratus dan 4.9 peratus. Produktiviti buruh sektor Pertanian pula merekodkan kejatuhan marginal 0.3 peratus berbanding pertumbuhan positif 0.3 peratus suku ketiga sebelumnya. – UTUSAN