PETALING JAYA: Anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad, SIRIM QAS International bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) telah melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan dalam usaha untuk mengawal penjualan produk elektrik dan elektronik (E&E) tidak diperakui, termasuk dalam talian.
Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna dan pemain industri tentang kepentingan label SIRIM-ST pada peralatan E&E.
Kempen selama tiga bulan itu akan dimulakan dengan pelancaran sebuah video di platform media sosial, yang menekankan kepentingan membeli barangan E&E yang diperakui oleh SIRIM-ST.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, pengguna harus berwaspada dan hanya membeli peralatan elektrik yang diluluskan oleh SIRIM-ST.
“Langkah ini bagi mengelakkan kemalangan atau kebakaran yang boleh membawa kecederaan atau kematian.
“Label SIRIM-ST mengesahkan produk berkenaan selamat untuk digunakan, oleh itu keselamatan mereka dapat dijamin,” katanya dalam sidang akhbar perasmian kempen tersebut yang dilakukan secara maya.
Jelasnya, usaha itu penting kerana gajet, peralatan berkaitan sukan dan perkakas rumah adalah antara pembelian online tertinggi di Malaysia berdasarkan tinjauan dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2018.
Ahmad Fadzil berkata, kajian oleh ST turut mendedahkan dalam tempoh lima tahun lepas, kemalangan elektrik secara purata adalah 52 kes setahun.
“Pada 2020, sebanyak 45 kes dilaporkan melibatkan 28 kematian dan 17 kemalangan lagi yang tidak melibatkan kematian.
“Penggunaan peralatan elektrik tidak disahkan dan rosak adalah antara faktor yang menyebabkan kemalangan di premis domestik,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST, Abdul Razib Dawood memberitahu, sebelum sebarang peralatan elektrik dijual di pasaran, ia perlu mendapatkan Perakuan Kelulusan (COA) daripada ST dan menjalani ujian serta pensijilan oleh SIRIM.
“Peralatan elektrik yang telah diluluskan hendaklah dilekatkan dengan label SIRIM-ST atau mempunyai Tanda Pensijilan SIRIM.
“ST hanya mengeluarkan COA kepada pengeluar dan pengimport E&E untuk perkakas yang memenuhi standard dan keperluan keselamatan relevan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Elektrik 1994,” katanya. – UTUSAN