SIRIM, MTIB sokong industri kayu negara - Utusan Malaysia

SIRIM, MTIB sokong industri kayu negara

AHMAD Fadzil Mohamad Hani (kiri) dan Naib Presiden Kanan, Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Mohd. Azanuddin Salleh menunjukkan dokumen perjanjian yang ditandatangani, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SIRIM Berhad dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menyokong industri kayu tempatan dalam mencapai tahap daya saing global melalui teknologi industri 4.0, mekanikasi dan automasi, pemindahan teknologi dan penggunaan teknologi hijau.

MoU tersebut menekankan kerjasama antara kedua pihak, di mana SIRIM sebagai penyedia teknikal dan penyelesaian di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), akan beker­jasama dengan MTIB untuk meneroka bidang teknologi yang merangkumi industri 4.0.

Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, MoU berkenaan akan membolehkan SIRIM, melalui MTIB bekerjasama dengan persatuan dalam penyediaan bantuan perundingan dan teknikal untuk membantu industri kayu di Malaysia dalam bidang teknologi, mengesyorkan cadangan dan rancangan intervensi bagi pemain industri kayu.

“Dalam inisiaitif Pengeri­ngan Tanur Kayu Malaysia Hibrid Tenaga Hijau untuk Masa Depan Mampan yang dilakukan oleh SIRIM dan Persatuan Pengusaha Kayu-kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA), SIRIM akan memperkenalkan tiga intervensi teknologi untuk meningkatkan kecekapan tenaga, me­ngurangkan bil elektrik dan bahan bakar dandang di operasi kilang PEKA.

“Impak daripada projek itu akan menghasilkan penjimatan bersih hingga 60 peratus dari keseluruhan kos tenaga untuk operasi pengeringan, dianggarkan bernilai RM230,000 setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kejayaan projek itu akan menjadi penanda aras pengeringan kayu secara hibrid tenaga hijau untuk dicontohi dalam kalangan 306 operator tanur pengering di seluruh negara.

Ketua Pengarah MTIB, Mohd. Kheiruddin Mohd. Rani pula berkata, sektor industri kayu sedang menghadapi cabaran seperti bekalan mentah tidak mencukupi, ketidakpastian senario ekonomi global, persaingan, penggantungan tinggi terhadap pekerja asing dan produktiviti yang rendah.

“Tambahan pula, kekurangan pelaburan dalam inovasi, automasi, mekanisasi, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan, telah membatasi potensi pertumbuhan industri kayu.

“Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12, nilai eksport kayu dan produk kayu dijangka mencecah RM28 bilion pada 2025, sementara nisbah nilai tambah kepada eksport produk utama dijangka 65:35 peratus,” katanya.

Tambahnya, permintaan untuk kayu dan produk kayu di pasaran domestik dijangka meningkat kepada RM20 bilion pada 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya