PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mencatatkan keuntungan bersih RM1.2 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Jumlah tersebut merupakan peningkatan 692.5 peratus berbanding kerugian bersih RM200 juta yang dicatat pada tahun kewangan 2019.
Pada suku keempat 2020, SDP mencatatkan keuntungan RM149 juta, peningkatan 356.9 peratus berbanding kerugian RM58 juta yang dicatat pada suku sama tahun lalu.
Dalam pada itu, hasil sepanjang tahun kewangan 2020 untuk SDP meningkat daripada 12.1 juta pada 2019 kepada 13.1 juta pada 2020.
Untuk suku keempat pula, hasilnya meningkat sedikit daripada 3.4 juta pada suku keempat 2019 kepada 3.6 juta.
Pengerusi SDP, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, harga minyak sawit yang lebih tinggi tahun lalu merupakan rahmat buat semua pemain industri dalam antara tahun paling mencabar dalam sejarah ekonomi dunia.
“SDP gembira dengan prestasi kewangan keseluruhannya yang secara signifikan lebih baik pada 2020 dan syarikat berharap ia mampu meneruskan kecemerlangan dalam tahun kewangan semasa.
“Berita gembira tentang pengedaran vaksin di seluruh dunia memberikan sinar harapan dalam perjalanan kita untuk pulih.
“Kami menyedari ancaman berterusan daripada pandemik Covid-19 dan akan terus berhati-hati agar dapat mengelakkan penyebaran virus itu bagi melindungi kehidupan pekerja dan memastikan perniagaan dapat terus berjalan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, salah satu keutamaan SDP ketika ini adalah untuk mengurangkan kegusaran para pemegang taruh terhadap Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).
“Kami sedang bekerjasama dengan organisasi bebas dan berkelayakan untuk menguruskan hal ini dengan cepat dan berkesan serta terus mengemas kini keadaan dengan semua pemegang taruh.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap penambahbaikan berterusan, SDP berazam untuk mengenal pasti secara proaktif apa-apa jurang yang mungkin wujud dalam operasi kami serta melindungi kesejahteraan dan keselamatan semua pekerja, terutamanya yang paling rentan dalam kalangan kami,” katanya. – UTUSAN