Saham FGV: Felda tingkat majoriti - Utusan Malaysia

Saham FGV: Felda tingkat majoriti

Pembukaan tanah rancangan seperti Felda memberi peluang kepada ramai rakyat negara ini memperbaiki kehidupan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membeli 857,300 saham lagi dalam FGV Holdings Bhd. bernilai RM1.11 juta daripada pasaran terbuka pada harga RM1.30 sesaham.

Setakat 10 Februari lalu, jumlah saham yang dipegang oleh Felda dan PAC dalam FGV berjumlah 2.62 bilion saham bersamaan 71.95 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, Felda telah membeli saham tersebut pada Khamis lalu.

“Langkah itu adalah di bawah tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat oleh Felda menerusi Maybank IB, untuk memiliki kesemua baki saham dalam FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) yang belum dimiliki oleh Felda dan pihak yang berkepentingan sama (PAC), termasuk semua saham FGV di bawah pelan insentif jangka panjang FGV,” katanya dalam makluman itu, semalam.

Maybank IB berkata, tarikh tutup penerimaan tawaran pengambilallihan oleh Felda untuk baki saham FGV telah dilanjutkan dari 16 Februari kepada 2 Mac ini.

Menurut Maybank IB, FGV tidak memenuhi syarat minimum pegangan saham awam iaitu 25 peratus kerana ia hanya menyumbang 23.93 peratus setakat 4 Februari lalu.

Tambahnya, Felda tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di pasaran utama Bursa Malaysia selepas pengambilalihan itu.

Pada 8 Disember lalu, Felda yang memiliki 21.24 peratus dalam FGV berhasrat mengambil alih kepentingan sebanyak 13.88 peratus atau 506,190,800 saham dengan nilai sebanyak RM658 juta.

Felda telah memberi dokumen tawaran berhubung pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi semua saham biasa dalam FGV Holdings Bhd. yang tidak dimilikinya kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran itu juga akan memberi peluang kepada Felda untuk meningkatkan pegangannya dan mengukuhkan kawalan dalam FGV.

Mengulas perkembangan itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menyarankan pemegang saham FGV yang masih memegang saham, menjual pegangan mereka sebelum tarikh berbuat demikian berakhir.

Beliau berkata, jika Felda berjaya memperoleh 90 peratus pemilikan saham FGV dan menyah senaraikannya menjadi syarikat persendirian, pemegang saham yang masih belum menjual saham akan menjadi pemegang minoriti dan tidak akan dapat menjualnya di Bursa Malaysia selepas ini.

“Mereka hanya boleh menjualnya kepada Felda dan belum tentu akan mendapat harga RM1.30 sesaham seperti sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmed Razman percaya, FGV akan lebih maju dan berdaya saing jika Felda memastikan syarikat perladangan itu sentiasa di­terajui oleh pasukan pengurusan yang profesional dan mengamalkan tadbir urus korporat dengan baik.

“Felda juga harus memastikan tiada campur tangan oleh mana-mana individu yang berkepentingan peribadi dalam urusan FGV se­perti apa yang telah berlaku sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya