PETALING JAYA: Kesukaran dan tekanan berpanjangan akibat pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan rakyat Malaysia putus harapan dan tidak lagi mengimpikan masa hadapan yang cerah selepas pandemik ini berakhir.
Ini dapat dilihat dalam dapatan kajian sukuan Emir Research, Pulse From The Ground yang terbaharu untuk suku keempat 2020 apabila Indeks Kebimbangan Kebangsaan (NWI) jatuh ke paras paling rendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Emir Reseach, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pihaknya juga mengenal pasti keadaan yang dinamakan sebagai ‘kelesuan rasa bimbang’ selepas meneliti dapatan kajian tersebut dengan lebih mendalam.
“Apabila kami mengasingkan responden mengikut tahap kebimbangan menggunakan jalur skala NWI dan melakukan silang jadual dengan jangkaan masa hadapan responden, corak yang menarik muncul.
“Mereka yang ddalam kumpulan kebimbangan minimum dan kebimbangan sederhana menunjukkan tahap kesetujuan yang secara signifikan lebih rendah terhadap pernyataan bahawa hidup akan lebih baik pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan dekat sini.
Menurut Rais Hussin, keadaannya berbeza pada suku ketiga 2020 apabila mereka yang kurang bimbang adalah yang paling optimis terhadap masa hadapan dan mereka yang dalam kumpulan kebimbangan sederhana tidak pasti dengan kehidupannya pada masa hadapan.
Kata beliau, dapatan tersebut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengalami petanda-petanda awal bahawa mereka sudah penat untuk berasa bimbang atau dalam erti kata lain, putus harapan.
“Berada dalam situasi kebimbangan maksimum yang berpanjangan disebabkan cabaran tiga serangkai (pandemik, ketidaktentuan ekonomi dan ketidaktentuan politik) sehingga ke tahap gelisah dan mungkin melihat ia tidak berhenti pada masa hadapan, rakyat Malaysia menunjukkan petanda-petanda awal ‘kelesuan rasa bimbang’ serta melaksanakan strategi pengelakan dan beradaptasi dengan keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, kajian Emir Research tersebut turut mendapati bahawa responden yang dalam kumpulan gaji RM3,001 hingga RM5,000 adalah kumpulan yang paling tinggi kebimbangannya.
Menurut Rais Hussin, golongan tersebut menunjukkan tahap kebimbangan yang secara signifikan lebih tinggi berbanding mereka yang dalam kumpulan gaji bawah RM3,000, terutamanya tentang pekerjaan dan dimensi kos sara hidup.
Kajian Pulse From The Ground untuk suku keempat 2020 diadakan pada Disember lalu melibatkan 1,976 responden merangkumi rakyat Malaysia dari semua negeri di Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. – UTUSAN