PETALING JAYA: Proton melancarkan model edisi istimewa untuk empat model keretanya: Persona, Exora, Iriz dan Saga secara serentak dalam majlis pelancaran secara maya di laman Facebook rasminya semalam.
Untuk edisi istimewa tersebut, Persona dan Exora diberi nafas baharu dengan gabungan warna hitam dan emas manakala Saga dan Iriz diberi sentuhan kereta lumba melalui model R3 dengan kombinasi hitam dan kuning.
“Persona dan Exora Edisi Hitam menambahkan gaya dan kemewahan pada kenderaan yang biasanya terjual kerana kepraktisan dan keselesaannya. Seperti nama yang dicadangan, ia datang dalam warna hitam dan emas yang secara halus menyerlahkan lagi bumper dan roda aloi.
“Di bahagian dalam, kedua-duanya didatangkan bersama tempat duduk kulit berwarna hitam, penutup pintu dan konsol lantai dengan Persona diberikan bumbung dalaman berwarna hitam, manakala Exora pula dipasangkan dengan monitor overhead,” kata syarikat itu dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, bagi Iriz dan Saga, setiap kereta dicat dengan warna hitam dan dihiasi warna R3 seperti pada kereta lumba Proton.
“Iriz dilengkapi roda aloi 16 inci R3 sementara Saga pula dilengkapkan roda aloi 15 inci dengan kemasan kelabu kusam.
“(Kedua-dua kereta mempunyai) kit badan R3 sporty lengkap pada luaran kereta manakala bahagian dalaman berwarna hitam-kuning yang unik, tempat duduk kulit dan karpet R3 membolehkan suasana tersendiri dengan penampilan sporty,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, pelancaran empat model tersebut bertujuan memberi lebih pilihan kepada pelanggan.
“Produk keluaran Malaysia ini menyasarkan pembeli kereta Malaysia dan adalah (sebagai) peringatan bahawa Proton mempunyai keupayaan sebagai pengeluar kereta ‘servis sepenuhnya’ yang boleh melakarkan, membuat dan membina kereta-kereta kita sendiri bermula daripada sekeping kertas kosong,” katanya.
Proton Saga R3 Edisi Terhad akan dijual dengan harga RM42,300 manakala Iriz R3 Edisi Terhad RM52,900; Persona Edisi Hitam (RM54,700) dan Exora Edisi Hitam (RM67,800).
Tawaran harga tersebut adalah hasil pengecualian cukai jualan dalam skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan terbuka hanya untuk Semenanjung Malaysia serta sah sehingga 30 Jun ini.
Dalam majlis pelancarannya, Roslan berkata, kejayaan model ulang tahun Saga yang dilancarkan pada 9 Julai tahun lalu dengan 1,100 unit habis dijual dalam lima hari mendorong pihaknya memperkenalkan lebih banyak model khas untuk pelanggan.
“Di Proton, kami sentiasa mengambil kira pandangan pelanggan dan anda akan menyedari betapa anda mahukan lebih banyak bayak variasi edisi khas.
“Ini kerana ia dibina khas untuk anda, menjadikannya sebahagian daripada anda dan keluarga anda,” katanya. -UTUSAN