KUALA LUMPUR: PMB Investment Berhad (PMB Investment) akan melancarkan dana wakaf yang memberi peluang kepada pelabur menjana pendapatan, pada masa sama membuat amal jariah melalui wakaf.
Dana wakaf yang dipercayai pertama seumpamanya di negara ini, dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini, selepas kelulusan diperoleh daripada Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim, pihaknya menyasarkan untuk mengumpul pelaburan antara RM20 juta hingga RM50 juta pada tahun pertama pelancaran dana berkenaan.
Jelasnya, pelancaran dana itu merupakan usaha sama dengan sebuah institusi wakaf ternama di dalam negara.
“Dana ini sesuai untuk individu dan institusi yang mahu memperoleh pulangan daripada pelaburan selain memberi peluang untuk membuat amal jariah. Ini merupakan dana istimewa dengan pulangan berganda,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mahani berkata, pelaburan dana tersebut terbuka kepada individu dan korporat dengan pelaburan minimum masing-masing RM100 dan RM10,000.
“Bagi setiap pelaburan yang dibuat, 70 peratus pulangannya akan dilaburkan semula, sementara 30 peratus lagi akan diwakafkan. Ini membolehkan mereka mempunyai duit untuk dilaburkan semula, pada masa yang sama terus berwakaf,” jelasnya.
Selain dana wakaf, PMB Investment akan turut melancarkan dana baharu global pada suku ketiga 2021 selari dengan selera pelabur dalam negara yang kini lebih bersedia untuk mengambil risiko di pasaran luar negara.
“Dana tersebut memberi peluang para pelabur yang mahukan dana pelaburan patuh syariah di pasaran antarabangsa. Ini akan memberi pilihan kepada para pelabur yang mahukan risiko berlainan dari risiko sedia ada di dalam dana-dana PMB Investment sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan 11 daripada 16 dana PMB Investment telah merekodkan prestasi cemerlang tahun lalu dengan pulangan antara 11.7 hingga 66.3 peratus.
“Menerusi prestasi yang dicatatkan tahun lalu, ramai pelabur kami telah meraih keuntungan menerusi pelaburan mereka dengan PMB Investment,” katanya. – UTUSAN