PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua yang dilaksanakan ketika ini ternyata memberi kesan kepada syarikat automotif nasional, Proton Holdings Berhad apabila hanya mencatatkan jualan sebanyak 5,964 unit bulan lalu.
Jumlah tersebut bersamaan dengan penurunan sebanyak 29.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu manakala pegangan pasaran yang dianggarkan pada tahap 18.5 peratus, susut satu peratus.
Walau bagaimanapun, Proton masih berjaya mengakhiri bulan Januari di tangga kedua senarai pengeluar namun jumlah jualan industri hanya berada pada paras 32,000 unit dengan kadar jualan mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan memenuhi permintaan dan bukannya pengurangan tempahan.
Menurut Proton, Saga merupakan model terlaris bulan lalu dengan 2,583 unit telah dihantar kepada pembeli sekali gus menjadikannya sedan segmen-A kedua paling popular.
Katanya, Proton X70 dan X50 pula kekal di tangga teratas kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C dan segmen-B walaupun jumlah didaftar berkurangan masing-masing kepada 892 dan 1,082 unit.
“Bagi X50, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada pelanggan sejak ia dilancarkan pada 27 Oktober tahun lalu.
“Model Proton lain pula dijual pada kadar yang setanding dengan prestasi syarikat dengan Persona berjaya menyandang tangga kedua kategori sedan segmen-B manakala Exora kekal kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C paling popular. Iriz pula mengakhiri bulan Januari di tangga ketiga bagi hacbek segmen-B,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah mengakui Januari sebagai bulan yang sukar bagi industri automotif negara.
“Kami mempunyai harapan tinggi momentum dibina pada akhir tahun lalu akan dibawa ke tahun ini terutama selepas pengumuman insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kekal hingga pertengahan tahun. Malangnya, pengumuman PKP telah menghampakan harapan itu.
“Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri automotif menyokong sepenuhnya langkah diambil kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan dengan keselamatan rakyat perlu diutamakan dan syarikat juga perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah,” jelas beliau. – UTUSAN