RIYARD: Arab Saudi dilaporkan meningkatkan tekanan kepada firma-firma antarabangsa di Asia Barat supaya memindahkan ibu pejabat mereka ke negara berkenaan, sekali gus meningkatkan saingan kepada bandar Dubai.
Menurut laporan, bermula 2024, kerajaan Arab Saudi dan institusi milik kerajaan akan menamatkan sebarang perjanjian kontrak dengan mana-mana syarikat asing yang mempunyai pangkalan atau ibu pejabat di Asia Barat iaitu di luar negara itu, lapor agensi Saudi Press yang memetik sumber.
“Langkah tersebut bertujuan mengehadkan ‘ketirisan ekonomi’ dan meningkatkan peluang pekerjaan,” kata seorang pegawai yang enggan dikenali.
Ketua Ekonomi bagi pasaran baharu muncul di Bloomberg Economics, Ziad Daoud berkata, langkah berkenaan merupakan satu amaran ‘persaingan sengit’ dalam kalangan enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Enam negara terbabit ialah Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Bagaimanapun katanya, masih sukar untuk melihat sejauh mana keputusan itu akan dilaksanakan.
Keputusan Arab Saudi itu juga dilihat langkah terbaharu negara berkenaan untuk menggalakkan kehadiran firma-firma luar di Riyadh, dalam menyokong pelan pengembangan ekonomi negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Putera Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dilaporkan telah menyalurkan suntikan dana sebanyak AS$800 bilion (RM3.224 trilion) untuk mengembangkan sekali ganda saiz ibu negara berkenaan dan menukar Riyadh sebagai hab ekonomi global.
Pemerhati menyifatkan pengumuman tersebut merupakan ‘ancaman’ kepada firma-firma asing bahawa mereka kemungkinan hilang berbilion dolar rundingan kontrak, kecuali menempatkan ibu pejabat mereka di Arab Saudi.
“Adalah tidak wajar bagi syarikat yang tidak mempunyai kata pemutus di negara ini mendapat kontrak-kontrak utama daripada kerajaan dan entiti kerajaan. Sebaliknya, ia (kontrak) akan diberikan kepada mereka yang memilih untuk berada di sini,” kata Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih dalam satu temubual telefon.
Keputusan itu merupakan saingan kepada ekonomi dan bakat global selepas Putera Mohammed membuka ekonomi Arab Saudi melalui peluang pelaburan bernilai AS$6 trilion (RM24.18 trilion) untuk tempoh sedekad akan datang.
Arab Saudi berdepan saingan sengit daripada bandar raya Dubai yang telah lama muncul sebagai hab perniagaan serantau dalam semua aspek daripada perbankan sehingga kepada sektor pengangkutan.
Khalid menafikan peraturan baharu itu adalah usaha Arab Saudi untuk menyaingi status Dubai, sebaliknya menegaskan: “Kami tidak menyasarkan mana-mana bandar atau negara, sebaliknya syarikat-syarikat.” – AGENSI