PETALING JAYA: Petronas mengesahkan penemuan gas daripada telaga Lang Lebah-2 terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer luar pesisir pantai Sarawak.
Menurut Petronas, telaga Lang Lebah-2 dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Blok SK410B.
PTTEP HK Offshore Limited adalah operator blok berkenaan yang dikongsi bersama KUFPEC Malaysia (SK-410B) Limited dan Petronas Carigali Sdn. Bhd., anak syarikat Petronas.
Block SK410B dipromosikan dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2015, menyebabkan PSC ditandatangani pada Julai 2016.
Jelas Petronas, eksplorasi telaga telaga Lang Lebah-2 berjaya dilakukan sehingga kedalaman 4,320 meter pada pertengahan Januari 2021 dengan lebih 600 meter jaminan keuntungan gas bersih.
“Telaga berkenaan telah diuji dan memberi aliran sebanyak 50 juta meter padu gas sehari dengan jumlah gas yang ketara. Ini adalah pengerudian penilaian untuk mengesahkan potensi peningkatan serta bertujuan mempercepatkan program pembangunannya,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas penemuan itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, penemuan luar biasa itu bukti kepada lembangan Malaysia yang sangat prolifik dan menunjukkan potensi eksploitasi yang belum diterokai.
“Pencapaian ini merupakan kejayaan signifikan kepada pihak-pihak di dalam PSC yang terus menyumbang kepada penerokaan di Wilayah Luconia Tengah,” katanya.
Pada 2019, Petronas dan rakan kongsinya berjaya menggerudi penemuan gas yang berdaya maju secara komersial melalui penerokaan telaga pertama, Lang Lebah-1RDR2, dan kini sedang bersiap sedia ke arah pembangunan lapangan. – UTUSAN