Petronas, JERA jalin kerjasama - Utusan Malaysia

Petronas, JERA jalin kerjasama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat mi­nyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan JERA Co. Inc.

Ia bakal menyaksikan kedua-dua syarikat bekerjasama dalam penghasilan pelbagai inisiatif tenaga rendah karbon meliputi gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen dalam memperkaya kehidupan untuk masa depan lestari.

Kerjasama antara syarikat penjana tenaga terbesar Jepun itu dengan Petronas telah ditandatangani secara rasmi oleh Naib Presiden Eksekutif Gas dan Tenaga Baharu Petronas, Adnan Zainal Abidin dengan Naib Pre­siden Korporat dan Ketua Pegawai Operasi, Jabatan Pembangunan Perniagaan JERA, Yukio Kani.

Menurut Adnan, ruang lingkup kerjasama tersebut juga membuka peluang di sepanjang rantai nilai bersepadu Petronas.

“Ia juga merangkumi peluang di luar sempadan Jepun dengan kami berusaha meningkatkan penggunaan sumber tenaga rendah karbon di seluruh dunia.

“Kami berbangga dapat me­ningkatkan hubungan selama empat dekad dengan JERA yang bukan sahaja dapat melihat kami menerokai sumber tenaga rendah karbon yang baharu se­perti ammonia dan hidrogen tetapi juga memperkukuh perkongsian LNG kami,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kerjasama antara Petronas dengan JERA adalah hasil visi bersama kedua-dua syarikat untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

November lalu, Petronas mengumumkan hasratnya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistik terhadap kelestarian dan mengembangkan perniagaan dengan cara memberi sumbangan positif kepada masyarakat serta alam sekitar.

JERA turut menubuhkan Pelepasan Karbon Dioksida Sifar JERA 2050 pada Oktober lalu yang dipandu kemajuan teknologi penyahkarbonan, rasionalisasi ekonomi dan konsistensi dengan dasar kerajaan Jepun.

Sebagai sebahagian daripada perjalanan pelepasan sifar bersih JERA, syarikat itu turut berusaha menutup penjana arang batu tidak cekap di Jepun menjelang 2030, secara beransur-ansur meningkatkan pembakaran campuran bahan bakar fosil, ammonia dan hidrogen di loji janakuasa habanya serta mempromosi pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Berdasarkan MoU tersebut, Petronas dan JERA akan meningkatkan kerjasama dalam rantaian bekalan untuk bahan bakar ammonia dan hidrogen sambil terus menggunakan LNG.

Ini berdasarkan kepada kedudukan Petronas sebagai satu daripada pengeluar LNG terbesar dunia, berpengalaman sebagai pengeluar ammonia yang boleh dipercayai serta penubuhan perniagaan hidrogen syarikat pada bulan November 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya