PETALING JAYA: Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel merupakan antara 355 orang yang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan, hari ini.
Mohamed Faroz yang merupakan pemilik gedung tekstil tersebut menerima Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Seramai 24 penerima dikurniakan SMW yang membawa gelaran Datuk Seri itu termasuk Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mendahulu penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan ialah Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas diikuti Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; isteri Yang di-Pertua Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang di-Pertua Melaka, Tun Ali Mohd Rustam; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Mereka menerima Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama. – UTUSAN