PETALING JAYA: Walaupun kadar pengangguran di Malaysia masih ideal di bawah lima peratus, kerajaan perlu ada mekanisma untuk mencipta peluang pekerjaan yang lebih meluas.
Penganalisis ekonomi, Dr. Madeline Berma berpendapat, kerajaan perlu mengambil tindakan awal dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan terutama kepada para graduan.
“Peningkatan ini hanya bersifat ‘sementara’ dan akan berlaku penurunan melalui program vaksin dan pembukaan semula ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Madeline, tanpa sebarang tindakan awal, ia menyebabkan ekonomi negara menurun sekali gus pendapatan masyarakat turut menurun.
“Anggaran tersebut adalah berdasarkan anggaran data semasa, yang mana pertumbuhan guna tenaga adalah 1.5 peratus setahun.
“Apabila wujudnya ramai tenaga kerja yang menganggur, ia menyebabkan pengeluaran kasar negara berkurangan dan ini yang menyebabkan terjejasnya pendapatan per kapita negara,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu bekerjasama dalam mengatasi hal itu kerana isu pengangguran adalah satu masalah yang serius dan mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi sesebuah negara.
“Mungkin juga pihak kerajaan perlu memberi lebih perhatian kepada bidang keusahawan buat masa ini.
“Kebanyakan yang menganggur adalah mereka yang aktif mencari kerja dan peningkatan ini boleh dikaitkan dengan penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE