Penerimaan pengambilalihan FGV dilanjut - Utusan Malaysia

Penerimaan pengambilalihan FGV dilanjut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) sekali lagi melanjutkan tarikh akhir penerimaan tawaran pengambilalihan FGV Holdings Berhad oleh Felda kepada pukul 5 petang, 2 Mac ini.

Sebelum ini, lanjutan telah dibuat dari pukul 5 petang 2 Februari kepada 5 petang 16 Februari.

Menurut Maybank IB juga, FGV masih tidak memenuhi keperluan sebarang pemegangan awam minimum pada 25 peratus mengikut syarat-syarat penyenaraian.

“Kami ingin memaklumkan kepada pemegang saham bahawa lembaga pengarah pada 5 Februari mengumumkan sebaran pemegangan saham awam FGV adalah pada 23.93 peratus daripada jumlah saham terbitan FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) berdasarkan kepada rekod pendeposit FGV setakat 4 Februari.

“Oleh itu, FGV tidak memenuhi keperluan sebaran pemegangan saham awam pada 25 peratus menurut Perenggan 8.02(1) Syarat-Syarat Penyenaraian,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Maybank IB ialah penasihat utama Felda bagi dokumen tawaran tersebut.

Menurut Maybank IB, pihak penawar juga tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.

“Sehubungan itu, jika pihak penawar menerima penerimaan yang sah menjadikan pihak penawar dan sekutunya memegang agregat 90 peratus atau lebih saham FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan), pengumuman segera akan dibuat oleh FGV.

“Apabila pengumuman itu dibuat, Bursa akan menggantung dagangan saham FGV serta merta selepas berakhir lima hari dagangan dari tarikh penutup.

“Selepas itu, pihak penawar akan menyerahkan permintaan kepada FGV untuk mengambil prosedur yang perlu bagi menarik kembali status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi selaras dengan Bab 16 Syarat-Syarat Penyenaraian,” katanya.

Pada 8 Disember lalu, Felda yang memiliki 21.24 peratus dalam FGV berhasrat mengambil alih kepentingan sebanyak 13.88 peratus atau 506,190,800 saham dengan nilai sebanyak RM658 juta.
Setakat 10 Februari lalu, jumlah saham FGV yang dipegang oleh Felda dan PAC berjumlah 2.62 bilion bersamaan 71.95 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya