PETALING JAYA: Pasaran ekuiti negara menyaksikan pelabur asing terus menjual dana tempatan apabila mencatatkan sebanyak RM534.78 juta aliran keluar minggu lalu.
MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguan memberitahu, pelabur asing menjual RM199.66 juta ekuiti tempatan sebaik sahaja pasaran dibuka Isnin minggu lalu dengan pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing membeli dana sebanyak RM72.69 juta dan RM126.97 juta.
Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dalam sesi dagangan minggu lalu kecuali pada Jumaat walaupun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil memberi jaminan tiada sekatan ekonomi besar-besaran akan dilakukan kali ini.
MIDF Research berkata, aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Selasa iaitu sebanyak RM298.69 juta manakala aliran terkecil direkodkan pada Khamis berjumlah RM81.30 juta.
“Ia berbeza dengan aktiviti pelabur runcit yang merupakan pembeli bersih pada setiap hari minggu lalu. Pembelian bersih terbesar pada Selasa berjumlah RM286.74 juta manakala terkecil Isnin.
“Sentimen aliran bersih negatif turut dicatatkan institusi tempatan minggu lalu tetapi jumlahnya lebih kecil berbanding pelabur asing.
“Pembelian hanya direkodkan pada Isnin dan Selasa dengan aliran bersih terkumpul berjumlah RM138.92 juta. Aktiviti penjualan bersih adalah lebih besar berjumlah RM195.20 juta,” katanya dalam laporan itu.
Sejak awal tahun ini, secara kumulatif pelabur runcit adalah satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan pada kadar RM1.75 bilion dengan institusi tempatan serta pelabur asing masing-masing penjual bersih berjumlah RM919.25 juta dan RM833.87 juta.
Berdasarkan fakta dikeluarkan MIDF Research, semua pasaran di Asia Tenggara merekodkan aliran keluar bersih minggu lalu.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan minggu purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 6.28 peratus, manakala pelabur asing dan institusi tempatan mengalami penurunan ADTV sebanyak 72.79 peratus dan 10.90 peratus. – UTUSAN