Nilai industri sawit meningkat tahun lalu - Utusan Malaysia

Nilai industri sawit meningkat tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri minyak sawit tempatan menempa rekod positif apabila berjaya menjana pendapatan yang lebih baik sepanjang tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu ujar Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, mampu dicapai ketika ekonomi dunia ‘bergelut’ pandemik Covid-19.

“Pada 2020, industri komoditi pertanian ini telah menjana sekitar RM72.8 bilion melalui eksport minyak sawit dan pelbagai produk ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Sawit Anugerah Tuhan secara maya dan kemudian memperkenalkan laman sesawang rasmi khusus www.sawit.com.my.

Program anjuran kementerian itu dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sehingga akhir tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi siri peraduan yang disediakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, angka yang direkodkan pada 2020 itu jauh lebih tinggi kira-kira 14 peratus berbanding hanya RM63.73 bilion pernah dicatatkan sepanjang 2019.

“Ia juga tertinggi selepas kali terakhir perolehan eksport industri ini melonjak pada 2017 dengan meraih RM77.9 bilion” kata Mohd. Khairuddin ketika membuat perbandingan nilai.

Apa yang pasti ujarnya, status industri sawit tempatan terus kekal sebagai satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 18 tahun kebelakangan ini.

Kejayaan direkodkan pada 2020 secara tidak langsung membuktikan bahawa industri minyak sawit sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia.

Peranan cemerlang itu turut dapat dilihat apabila sektor komoditi tersebut menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk bantu golongan miskin di pelbagai skim tanah rancangan.

“Hari ini, tanpa kita sedar ada kira-kira 450,000 pekebun kecil dan keluarga mereka yang bergantung pada hasil tanaman sawit untuk kelangsungan hidup,” tegas Mohd. Khairuddin.

Justeru jelasnya, peranan minyak sawit terhadap pembangunan sosioekonomi di Malaysia yang sudah lama bermula sejak dekad 1960-an perlu terus dipertahankan oleh masyarakat.

Rakyat juga ujar beliau, perlu berbangga kerana komoditi itu turut memainkan peranan penting dalam menangani situasi wabak Covid-19 yang dialami dunia pada ketika ini.
Ini dapat dilihat menerusi penggunaan produk kesihatan berasaskan sawit seperti sabun dan pencuci kuman yang telah membuka peluang perniagaan bagi para pengusaha farmaseutikal.

“Daripada akar hingga ke pucuk, batang kepada pelepah dan daun selain isi buah serta sabut, semuanya memberi manfaat kepada bukan sahaja manusia malah haiwan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya