SINGAPURA: Nilai mata wang kripto Bitcoin sekali lagi mencecah paras tertinggi baharu iaitu AS$47,000 (RM190,726.74), naik 20 peratus berbanding sebelum ini.
Kenaikan itu didorong oleh laporan pemilik Tesla Inc, Elon Musk mendedahkan di dalam laporan tahunan 2020 syarikat tersebut yang beliau akan membeli AS$1.5 bilion (RM6.09 bilion) mata wang berkenaan.
Musk turut mendedahkan kesediaan syarikat pembuat kenderaan elektrik itu untuk menerima pakai mata wang berkenaan bagi pembelian kereta Tesla, sekali gus melonjakkan nilai mata wang berkenaan.
Mengikut harga semasa, sebuah Tesla Model 3, boleh dibeli pada nilai 0.8 Bitcoin.
Para pelabur menjangkakan lebih banyak syarikat akan menyertai senarai pelabur dalam Bitcoin, termasuk BlackRock Inc, pengurus aset terbesar di dunia dan juga syarikat pembayaran seperti Square dan PayPal.
Tahun lalu, Musk telah membantu melonjakkan pasaran Wall Street dengan menjadi individu terkaya selepas saham Tesla meningkat hampir 500 peratus sekali gus muncul syarikat kelima paling bernilai di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pengurus Aset di Great Hill Capital LLC, Thomas Hayes, pelabur tidak akan mengambil peduli sekiranya perkembangan berkenaan membabitkan individu lain.
“Bagaimanapun, apabila individu terkaya di dunia yang melakukannya, semua orang akan memberi perhatian,” katanya.
Berita mengenai Musk itu telah mendorong mata wang kripto tersebut didagangkan pada kadar yang tinggi, seterusnya mendorong sama mata wang lain seperti Coinbase, Gemini, Binance. Perkembangan tersebut turut menjadi bualan di Reddit.
Musk dikenali sebagai penyokong mata wang kripto, dan kerap membuat pelaburan dalam mata wang berkenaan beberapa bulan lalu. Penyertaan beliau turut membantu melonjakkan nilai mata wang digital lain serta saham syarikat permainan video, GameStop.
Beberapa pakar berkata, mereka tidak terkejut sekiranya pihak berkuasa memberi perhatian serius kepada Musk.
“Kita memperkatakan seorang bilionair yang mempunyai syarikat antara paling bernilai di dunia yang sebelum ini tidak diberikan perhatian oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Pasaran (SEC),” kata Ketua Unit di Healthy Markets Association, Tyler Gellasch. – AGENSI