KOTA BHARU: Makmur Gold Holding Sdn. Bhd. (MGHSB) melabur lebih RM1.5 juta bagi membuka kilang memproses ayam di bawah jenama Ayam Putih Makmur Gold Sdn. Bhd. di Kampung Teluk Mahang, Jalan Kuantan-Pekan yang akan beroperasi awal April ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Hishamuddin Abdullah berkata, pelaburan itu membabitkan penyediaan mesin serba moden bagi menjamin kualiti serta kesucian proses penyembelian dan penyediaan ayam.
Beliau berkata, Ayam Putih Makmur Gold Sdn. Bhd. (APMGSB) akan menitik beratkan tahap kebersihan yang tinggi dan pembukaan kilang itu turut membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“MGHSB bekerjasama dengan syarikat Ayam Putih Sdn. Bhd. (APSB) yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang ini.
“MGHSB rasa terpanggil untuk menerokai perniagaan pemprosesan ayam bersih dan halal kerana kebanyakan perniagaan ini diusahakan oleh kaum lain,” katanya ditemui selepas melawat kilang APSB di Padang Enggang, Jalan Pasir Hor di sini, semalam.
Hishamuddin berkata, pihaknya menyasarkan untuk memproses dan menjual lebih 25,000 ekor ayam sehari selepas kilang itu beroperasi sepenuhnya.
“Kami turut memproses ayam sejuk beku dengan pasaran ke seluruh Malaysia membabitkan rangkaian hotel dan restoran, selain sasaran ke luar negara iaitu Thailand, Indonesia dan Brunei pada tahun hadapan.
“Buat permulaan ayam sejuk beku tersebut akan diedarkan di pasar raya kami iaitu MG Coop-Mart di Kuantan dan cawangannya akan dibuka di Putrajaya, Kota Bharu dan Kuala Terengganu tidak lama lagi,” ujarnya
Tambahnya, proses penyembelihan akan dilakukan para pekerja yang mendapat pengiktirafan daripada jabatan agama Islam negeri.
Jelasnya, syarikat juga akan bekerjasama dengan APSB untuk membuka ladang ternakan ayam di Pasir Mas dan Machang membabitkan lebih 100,000 ekor, untuk bekalan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan datang. – UTUSAN