PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan menawarkan 13 blok eksplorasi luar pantai di Malaysia pada pelancaran Pusingan Tawaran Malaysia (MBR) 2021 yang dijadualkan pada Jumaat depan.
Syarikat minyak nasional itu memaklumkan ia termasuk enam lapangan baharu sebagai insentif kepada para pelabur untuk melakukan aktiviti penerokaan yang lebih meluas dalam blok tersebut.
MBR tahun ini turut menawarkan empat blok laut dalam berdekatan dengan pantai Sarawak dan Sabah yang menampilkan penemuan eksplorasi utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pelancaran MBR 2021 akan diadakan di Kuala Lumpur secara virtual dan disiarkan secara langsung ke tiga pasaran berbeza iaitu Amerika Utara, United Kingdom dan Eropah, serta Asia Pasifik.
Bertemakan ‘Kembangkan Portfolio Tenaga Anda bersama Kami’, MBR 2021 bertujuan menarik pelabur dengan keupayaan unik untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi sumber hidrokarbon di negara ini.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan berkata, MBR 2021 akan menampilkan peningkatan ketara yang merangkumi kawasan blok yang lebih besar ditambah dengan pilihan penawaran yang fleksibel dan kos permulaan rendah.
“Kami juga akan menawarkan terma fiskal yang agak baharu untuk diterapkan dalam kontrak perkongsian pengeluaran seperti Keuntungan Dipertingkat untuk blok air cetek, Aset Hayat Akhir dan Aset Lapangan Kecil yang dirancang untuk menyesuaikan risiko dan ganjaran pelaburan dengan jenis aset yang ada.
“Terma-terma ini diformulasi berdasarkan maklum balas daripada pemain industri, dengan mempertimbangkan keadaan pasaran, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab minyak dan gas di pasaran Asia Tenggara yang semakin berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohamed Firouz, selain terma fiskal yang ditambah baik, Malaysia juga menawarkan sambungan rangkaian yang baik melalui infrastruktur bertaraf dunia yang memudahkan penjanaan keuntungan daripada aset.
Walaupun MBR tahun ini lebih menumpukan kepada blok eksplorasi, peluang bagi aset hayat akhir dan lapangan kecil disediakan sepanjang tahun.
Selain mengeluarkan dan menguruskan perancangan petroleum di Malaysia, Petronas juga memainkan peranannya sebagai pembentuk industri minyak dan gas negara serta penyokong pelaburan dengan mengelola aktiviti petroleum huluan di Malaysia. – UTUSAN