Maxis catat hasil RM1.94 bilion suku keempat 2020 - Utusan Malaysia

Maxis catat hasil RM1.94 bilion suku keempat 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maxis Berhad mencatatkan hasil perkhidmatan yang teguh (tidak termasuk borong) sebanyak RM1.94 bilion pada suku keempat 2020, didorong oleh pertumbuhan mudah alih teras, perusahaan dan perniagaan fiber.

Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan, syarikat merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dinormalisasi yang sihat, pada RM939 juta berbanding RM945 juta suku keempat 2019.

Katanya, keuntungan selepas cukai (PAT) yang dinormalisasi Maxis pada suku dilaporkan sebanyak RM319 juta, penurunan 6.7 peratus daripada RM342 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Penurunan seiring dengan pendapatan perkhidmatan yang lebih rendah dan pelaburan modal yang berterusan di kawasan pertumbuhan.

Jelasnya, syarikat merekodkan aliran tunai bebas operasi (OFCF) yang kukuh pada RM1,139 juta untuk suku tersebut, peningkatan 49.5 peratus daripada RM762 juta suku keempat tahun sebelumnya.

Peningkatan OFCF itu sebahagian besarnya disebabkan oleh fokus syarikat pada inisiatif modal kerja dan pengumpuan yang lebih tinggi dari Universal Service Provision (USP) dan projek lain yang dikawal selia.

“Pandemik telah menyaksikan Maxis mengalami tekanan yang lebih tinggi terhadap pendapatan prabayar dan perayauan serta trafik yang lebih rendah ke kedainya, tetapi pada masa yang
sama, menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk kesalinghubungan berikutan keperluan  kerja-dari-rumah dan digitalisasi perusahaan yang dipercepat,” katanya.

Katanya, Maxis menerajui pasaran dengan pertumbuhan pascabayar yang kukuh dengan perkembangan asas pelanggan sebanyak 4.0 peratus kepada 3.5 juta pelanggan dengan penawaran
MaxisONE dan Hotlink Postpaid menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Maxis turut merekodkan pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam kesalinghubungan kediaman, dengan peningkatan 21.8 peratus pelanggan fiber dan tanpa wayar (wayarles) dari tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 570,000.

Mengulas prestasi kewangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, ketangkasan syarikat dalam memenuhi tuntutan suasana unik membolehkan Maxis untuk terus maju dalam menuju cita-cita konvergennya.

Beliau berkata, di samping kekal optimistik dan beringat dalam menghadapi keadaan norma baharu pada 2021, syarikat akan terus mengembangkan penyelesaian yang lebih inovatif selain mudah alih, sambil mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan perniagaan bagi seluruh industri.

“Sememangnya, ini merupakan tahun penuh ujian bagi semua, terutamanya bagi mereka yang terkesan dengan pandemik dan banjir. Kami berterima kasih dan menghargai semua pekerja
barisan hadapan di seluruh negara atas pengorbanan tanpa lelah mereka; dari pekerja keselamatan, kesihatan dan pemulihan awam, kepada polis, tentera dan tenaga perubatan
profesional, serta pekerja kami yang terus menyokong keperluan pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya