PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk meningkatkan keselamatan dan mempercepat proses pemeriksaan keselamatan.
Ia susulan pelancaran sistem perdamaian penumpang (PRS) baharu yang ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut MAHB, MAB adalah syarikat penerbangan pertama yang mengguna pakai PRS bermula bulan ini yang telah dilaksanakan di beberapa titik penting dalam lapangan terbang tersebut.
MAHB memberitahu, kelebihan sistem tersebut turut merangkumi keselesaan kepada penumpang dan memastikan barisan minimum yang membantu memudahkan penjarakan fizikal.
“Sebanyak 10 unit PRS telah dipasang di Terminal 1 KLIA dan 12 unit lagi di Terminal 2. PRS adalah satu lagi inisiatif terhasil daripada Pelan Digitalisasi Lapangan Terbang 4.0 bagi meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi syarikat penerbangan.
“PRS adalah sistem keselamatan automatik baharu yang boleh mengimbas dan memadankan maklumat dokumen perjalanan penumpang kepada pangkalan data masa nyata penumpang MAB,” katanya dalam kenyataan.
Tambah MAHB, penyesuaian masa nyata itu juga menggunakan data tersulit dua lapisan untuk keselamatan tambahan dalam menyaring dokumen perjalanan palsu.
Katanya, MAB bukan sahaja akan mendapat keuntungan daripada kecekapan operasi tetapi juga dapat meningkatkan pengalaman pelanggan kerana kakitangan dapat segera diberitahu sekiranya ada keperluan mengesan penumpang semasa panggilan terakhir.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh mengulangi komitmen untuk bekerjasama dengan rakan syarikat penerbangan dalam memastikan kesediaan operasi ketika perjalanan udara pulih kelak.
“Kami terus memanfaatkan teknologi untuk mengikuti syarat keselamatan diperlukan bagi meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya. – UTUSAN