PETALING JAYA: Projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mencatat kemajuan pembinaan sebanyak 87 peratus pada akhir tahun lalu apabila pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang siap sepenuhnya.
Pakej tersebut merupakan pakej pembinaan pertama daripada lapan pakej yang siap sepenuhnya bagi projek SUKE.
Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe menjelaskan, pakej sepanjang 2.7 kilometer itu melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baharu Ampang dan berakhir di Jalan Merbau berhampiran LRT Ampang dan kerja pembinaannya mengambil masa empat tahun, lebih awal daripada jadual ditetapkan.
“Apabila lebuh raya SUKE dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baharu Ampang.
“Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur cuma perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).
“Dengan jarak anggaran sekitar 12 kilometer dari persimpangan-persimpangan tersebut, pemanduan hanya mengambil masa sekitar lapan minit dan tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pembinaan lebuh raya sepanjang 24.4 kilometer itu bermula pada 29 Ogos 2016 dan apabila siap, ia dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.
Lebuh raya tersebut bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di MRR2 dan akan mempunyai sambungan terus lebuh raya ke lebuh raya dengan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE), AKLEH, Lebuh Raya KL-Seremban, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).
Zarulazam menambah, pembangunan projek Lebuh Raya SUKE bakal memberikan manfaat besar terutamanya kepada penduduk sekitar Ampang yang mana pihaknya turut menaik taraf Jalan Ampang sedia ada terletak di bawah struktur lebuh raya tersebut. – UTUSAN